MENGHISAP peranti rokok elektronik atau lebih dikenali sebagai vape sememangnya menjadi sesuatu yang popular dalam kalangan masyarakat sejak akhir-akhir ini.
Malah, tabiat buruk itu juga semakin menjadi-jadi dalam kalangan pelajar malah turut menular di peringkat sekolah rendah.
Vape yang pernah menjadi alternatif lain membantu perokok berhenti merokok pada satu ketika dahulu kini ibarat pembunuh senyap dalam kalangan pelajar.
BACA LAGI : Dakwaan pelajar sekolah hisap vape ‘magic mushroom’, Kelantan tunggu laporan penuh Jabatan Pendidikan negeri
BACA LAGI : Ramai pelajar jadi 'penagih' vape, AADK dan KKM perlu segera laksana ujian air kencing di setiap sekolah — NUTP
Lebih membimbangkan lagi terdapat kandungan perisa rokok elektronik yang boleh mengkhayalkan dan sukar dikesan oleh orang sekeliling.
Pakar Kesihatan Komuniti Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Professor Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, menghisap vape itu sendiri adalah budaya tidak sihat.
"Malangnya orang ramai masih mempunyai tanggapan bahawa vape lebih sihat berbanding rokok. Hakikatnya vape dan nikotin sedikit pun tidak memberi kebaikan pada kesihatan.
"Tambahan penggunaan vape itu sendiri sudah disalah guna dan kini muncul pula vape yang dicampur 'magic mushroom' atau lebih dikenali dengan nama Vape Mushroom dalam kalangan remaja.
"Magic mushroom atau mushroom dan shroom adalah bahan halusinogen daripada jenis psilocybin yang bertujuan untuk mendatangkan rasa seronok melampau sebenarnya sejenis dadah.
"Kebanyakan pelajar yang mengambil Vape Mushroom telah menunjukkan kesan ketagihan yang tinggi dalam kalangan pengguna terutamanya golongan muda seperti pelajar," katanya kepada Majoriti.
Profesor Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh
Mengulas lanjut, beliau berkata, ketagihan terhadap Vape Mushroom boleh menyebabkan pelajar sukar mengawal diri, fokus terhadap pelajaran terganggu dan sebagainya.
"Kesan jangka panjang penggunaan Vape Mushroom termasuk kerosakan sel-sel otak akibat pendedahan berterusan kepada dadah ini. Pada mulanya, pengguna mungkin tidak merasakan kesan negatif yang ketara, namun lama-kelamaan otak akan rosak kerana sentiasa memerlukan dadah tersebut.
"Selain itu, Vape Mushroom boleh menyebabkan halusinasi dan delusi, di mana pengguna mungkin melihat atau mendengar perkara yang tidak wujud. Antara kesan mental lain yang akan mereka alami adalah seperti psikosis, paranoid, rasa gugup, panik dan euforia.
"Kesan psikosis ini menyebabkan mereka sukar membezakan antara realiti dan ilusi, yang boleh mengganggu kehidupan seharian mereka," ujarnya.
Jelas Sharifa Ezat lagi, ketagihan Vape Mushroom juga boleh menyebabkan remaja yang mengambil bahan tersebut mencari dos yang lebih tinggi atau mencampurkan dengan dadah lain.
"Dalam kalangan remaja, perasa mushroom ini sering diambil dengan kombinasi alkohol dan dadah lainnya sehingga meningkatkan risiko psikologi dan fizikal. Ia sekali gus akan meningkatkan risiko keracunan ekoran daripada pengambilan dos berlebihan sehingga boleh menyebabkan koma atau kematian.
"Selain itu, penggunaan dadah ini juga mempengaruhi tingkah laku fizikal pengguna. Mereka mungkin merasa seperti melayang atau tenang, tetapi ini hanya ilusi sementara yang akhirnya membawa kepada ketagihan yang lebih teruk.
"Pengguna juga mungkin menjadi ganas atau bertindak agresif sekali gus membahayakan diri mereka sendiri dan orang sekeliling," katanya.
Kesan jangka panjang penggunaan 'Vape Mushroom' termasuk kerosakan sel-sel otak akibat pendedahan berterusan kepada dadah tersebut. — Gambar hiasan
Beliau turut meluahkan kerisauan dengan penggunaan vape yang semakin berleluasa tersebut akan menimbulkan satu lagi masalah besar melibatkan penagih pada era baru.
"Jika dahulu, kita dapat kenal pasti penagih melalui kesan suntikan atau bau (jika hisap ganja) tapi kini tidak lagi.
"Penggunaan rokok elektronik yang mengandungi dadah ini sukar dikesan kerana ia tidak mempunyai tanda-tanda yang kita boleh nampak dengan mata kasar. Nampak macam hisap vape tetapi dalam ada magic mushroom atau ganja sintetik.
"Jangan ambil mudah kerana apabila remaja sudah ketagih, ia akan memberikan implikasi yang serius," katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, bagi menangani masalah ketagihan dalam kalangan remaja ini memerlukan kerjasama antara ibu bapa, guru, dan pihak berkuasa.
"Pendidikan mengenai bahaya Vape Mushroom dan penguatkuasaan peraturan yang lebih ketat di sekolah adalah langkah penting untuk mengurangkan penggunaan dadah ini dalam kalangan pelajar.
"Selain itu, ibu bapa harus memantau anak-anak mereka dan menyediakan sokongan emosi yang diperlukan untuk menghindari ketagihan dadah.
"Dengan usaha bersama, diharapkan masalah ketagihan Vape Mushroom ini dapat dikurangkan dan kesihatan serta kesejahteraan remaja dapat dipertingkatkan," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram