"ALLAHUAKHBAR Allahuakhbar", lontaran azan kedengaran syahdu dilaungkan salah seorang klien memenuhi ruang surau kecil Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Seri Iskandar, Perak.
Namun, di sebalik suara merdu klien yang juga naib johan kategori azan Program I-Deen Kepulihan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) 2024 itu tersimpan 1001 kisah hitam yang terpalit dalam kehidupannya.
Dia yang mahu dikenali sebagai Amirul, 18, juga mempunyai ceritera sama seperti klien lain Puspen apabila rakan sebaya menjadi titik permulaan remaja itu berkenalan dengan Methamphetamine atau lebih dikenali sebagai syabu.
BACA LAGI: [VIDEO] Sanggup tinggalkan bayi baru lahir kerana dadah, nenek muda ingin rasai erti merdeka sebenar
BACA LAGI: [VIDEO] Kenal syabu ketika usia 12 tahun, detik kawan mati ketika tengah 'high' ubah diri Iskandar
Mula berjinak-jinak dengan bahan terlarang itu atas dasar ingin mencuba dan suka-suka, malahan ketika itu Amirul menggunakan wang saku pemberian keluarga dan elaun institusi tempatnya menuntut ilmu untuk membeli syabu berharga RM150 untuk setengah gram.
“Saya mula ambil syabu semasa umur 16 tahun, ketika itu tengah ambil Sijil Kemahiran Malaysia (SKM). Awal-awal kawan bagi percuma, ambil memang untuk berseronok dan rasa nak cuba. Bila dah lama-lama saya cari sendiri. Buat connection dengan tokan.
“Saya nak stay up, masa tu ambil kursus welding. Lepas selesai SKM tahap tiga, saya dah on off ambil syabu tapi ketagih semula ketika sambung belajar. Ingatkah sambung belajar boleh insaf tapi terpengaruh lagi,” katanya kepada ketika pertemuan eksklusif di Puspen Seri Iskandar baru-baru ini.
Anak kedua daripada empat beradik itu tidak menafikan najis dadah menyebabkan dia semakin menjauh daripada orang tersayang namun mereka terutama ibunya tidak henti-henti menasihatinya untuk berubah dan meninggalkan kehidupan penuh hitam itu.
Amirul bagaimanapun tidak menafikan, meskipun sepanjang dua tahun dia ‘bersahabat’ baik dengan syabu, dia masih menjalankan tanggungjawab kepada keluarga apabila diperlukan.
Selepas ayahnya meninggal dunia pada usianya 12 tahun, abangnya merantau ke ibu kota untuk membantu mencari mata pencarian keluarga, manakala datuk kesayangannya sakit, sekali gus anak muda ini perlu membawa watak selaku ketua keluarga.
Puspen Seri Iskandar memberi peluang kepada remaja lelaki untuk mengambil Sijil Pelajaran Malaysia.
“Keluarga suruh berhenti tapi bila kita dah masuk dalam 'dunia' ni, kita rasa betul. Saya bergaduh dengan family. Banyak kali kantoi tapi bukan depan-depanlah.
“Saya mengaku (ambil dadah) tapi mereka tak boleh buat apa, tidak kan nak lapor anak kan. Walau saya begini, kalau keluarga nak minta tolong, saya balik tolong. Tapi kini, paling menyesal bila saya teringat semula momen lawan cakap mak.
“Walaupun mereka tahu kita macam ni. Tapi mereka masih ambil tahu pasal kita, datang melawat walaupun jauh. Saya rasa nak putar balik masa,” kongsi klien yang menjejaki kaki di Puspen Seri Iskandar pada Mac tahun ini.
Amirul yang masuk secara mandatori itu gembira Puspen membantunya kembali mempraktis semula ilmu agama dan pusat pemulihan berkenaan tidaklah teruk seperti yang dibayangkan.
“Semasa awal masuk, risau tidak diterima, sebab kena tangkap kan. Di sini memang tekankan solat, yang kedua kaunselor bantu. Mereka beritahu tip macam mana nak berhenti, apa yang trigger kepada dadah ini dan mereka juga bantu untuk saya capai cita-cita nak kerja offshore.
“Saya rasa ada peluang lagi nak kejar cita-cita sebab kaunselor sini masih ambil tahu walau dah keluar dan mereka akan tolong cari kerja.
“Awal-awal rasa nak lari. Mana tidak kan, dari bebas tiba-tiba kena hidup dalam sangkar,” ujarnya yang kuatkan semangat untuk berubah demi keluarganya.
Amirul (dua dari kanan) mendapat tempat ketiga bagi kategori azan pada Majlis Perasmian Penutup Program i-DEEN Kepulihan (AADK) Tahun 2024.
Selain ahli keluarga menjadi tulang belakang, Amirul juga memberi penghargaan kepada teman wanitanya yang sehingga kini tidak putus-putus mendoakan dirinya dan setia menunggunya melangkah keluar daripada pusat pemulihan itu.
Menurutnya, teman wanitanya yang mahu dikenali sebagai Humairah itu pernah menjadi faktor dia menjauhi dadah selama sebulan sebelum kembali terpengaruh kerana rakan sebaya.
“Dia masih tunggu. Dia memang jadi penyebab utama saya nak berubah. Saya nak halalkan dia. Dia yang beri motivasi untuk berubah.
“Untuk Humairah terima kasih selama ini ada di belakang saya, masih sokong. Terima kasih juga kepada keluarga sebab sentiasa sokong walau anak dah teruk dan tak bosan nak bagi semangat. Kedua-dua ini harta paling besar yang saya miliki,” penutup bicaranya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram