[VIDEO] Kenal syabu ketika usia 12 tahun, detik kawan mati ketika tengah 'high' ubah diri Iskandar


  • Massa
  • Ahad, 01 Sep 2024

Titik perubahan 100 peratus Iskandar bermula apabila dia sering melihat rakan-rakannya ditahan pihak berkuasa dan ada juga yang meninggal dunia di depan matanya.

TERJEBAK dalam kancah penagihan dadah pada usia 12 tahun menjadikan Iskandar yang juga klien Agensi Antid adah Kebangsaan (AADK) paling muda di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Seri Iskandar, Perak.

Dedah remaja lelaki yang kini berusia 15 tahun, kisah hidupnya yang penuh dengan episod hitam bermula sejak datuk kesayangan dijemput Ilahi kira-kira lima tahun lalu.

Kehilangan datuknya atau dipanggilnya Tok Wan sebagai tempat bergantung menjadi tamparan hebat buat dirinya yang baru menginjak usia 10 tahun ketika itu.

BACA LAGI: [VIDEO] Siap tayang 'dapur' dan plastik lut sinar dadah, 4 remaja sekadar bersembang lepas tonton filem — Polis Melaka

BACA LAGI: 'Kakak penguat semangat', Syafiq bebaskan diri dari dunia dadah lepas 5 kali ditangkap, kini cipta nama jadi fasilitator SAY

Hilang tempat bermanja menyebabkan Iskandar mulai rapat dengan seorang pemuda yang disapa 'abang' dan mereka sering melepak di sekitar kawasan perumahannya di Bukit Mertajam, Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang.

Perkenalan dengan 'abang' bermakna bermulanya detik Iskandar mula berjinak-jinak mengambil dadah jenis syabu selama tiga tahun sebelum menyerah diri di Puspen Seri Iskandar pada awal tahun ini.

Selama tiga tahun menjadi 'hamba' dadah, anak sulung daripada lima beradik itu tidak pernah mengeluarkan wang sesen pun kerana rakan-rakan sekeliling akan 'payung' bekalan dadah secara percuma, dengan syarat Iskandar menjadi 'runner' untuk mereka.

"Saya memang rapat dengan Tok Wan kerana dia yang jaga saya tetapi selepas pemergian Tok Wan saya mula rasa seperti hidup hilang arah. Ketika itu saya baru darjah empat.

"Selepas berhenti sekolah semasa darjah enam, saya semakin rapat dengan abang. Saya rasa selamat dengan abang, sebab itu selalu lepak dengan dia. Awalnya abang larang saya ambil syabu tapi saya yang bertegas nak cuba. Mulanya memang tak rasa pening tapi lepas 10 minit, rasa nak buat kerja sahaja.

"Lepas hisap hari pertama, rasa kenyang tapi sebenarnya perut kosong," katanya yang mengakui mula mengambil syabu pada usia 12 tahun.

Cerita Iskandar lagi, dia pernah 'hilang' hampir setahun kerana tinggal bersama abang yang juga tokan dadah sekali gus memudahkan dia mendapat bekalan bahan terlarang itu.

"Ibu bapa tak kenal pun abang itu. Masa tinggal dengan abang, saya dapat makan dan duit belanja. Saya rasa lagi rapat dengan abang banding ibu bapa," katanya kepada Majoriti ketika pertemuan eksklusif di Puspen Seri Iskandar baru-baru ini.

WhatsApp Image 2024-09-01 at 02.06.44

Kehilangan Tok Wan membuatkan hidup Iskandar (tengah) mula hilang arah.

Klien AADK itu akui berkawan dengan rakan-rakan lebih berusia seperti abang yang lima tahun lebih tua daripadanya membuatkan Iskandar merasakan dirinya hebat dan berbeza berbanding rakan sebaya.

Perubahan 100 peratus Iskandar bermula apabila dia sering melihat rakan-rakannya ditahan pihak berkuasa dan paling tragis apabila menyaksikan seorang kenalannya menghembuskan nafas terakhir di depan mata kerana mengambil bahan terlarang itu.

Peristiwa berkenaan menyebabkan remaja berketinggian 1.4 meter itu sendiri memilih untuk berkongsi kepada ibu bapanya mengenai situasi sebenar dirinya dan akhirnya menyerah diri kepada AADK.

"Saya mula nak berubah bila tengok makin ramai kawan kena tangkap. Paling dahsyat bila tengok kawan tengah cucuk jarum di bahagian kemaluan dan mati dalam keadaan mulut berbuih. Saya jadi takut.

"Selepas kejadian itu, saya beritahu mak yang saya nak berubah. Awalnya mak marah tapi selepas itu dia tolong saya berubah dan saya dihantar ke sini (Puspen)," katanya yang bersyukur dengan tindakan ibunya.

Interviu klien AADK. — AZLINA ABDULLAH/The Star

Puspen Seri Iskandar banyak mengubah nasib remaja lelaki termasuk Iskandar.

Keputusan itu nyata mengubah hidupnya menjadi lebih baik, apatah lagi Puspen Seri Iskandar banyak memberinya peluang untuk mendalami semula ilmu agama dan mempelajari silibus sekolah menengah.

Iskandar juga berharap usai proses pemulihan di Puspen, dia dapat menyambung pelajaran dan tekad untuk menjauhkan diri dari rakan-rakan lamanya.

"Harapan saya nak sambung balik belajar dan tidak mahu jumpa rakan-rakan lama. Cita-cita saya nak bawa lori macam Tok Wan," katanya yang menasihatkan remaja lain supaya tidak terjebak dengan kawan yang terlibat gejala negatif kerana ia akan membuka peluang terpengaruh dengan dadah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram