'Steady yob!', lelaki asal Bagan Serai raih pendapatan cecah RM5,000 sebulan jadi pendandan 'si bulus'


  • Bizz
  • Khamis, 29 Ogos 2024

Mazlan (gambar kiri) berkata, aktiviti sebagai pendandan kucing kini sudah tidak lagi dianggap semata-mata sebagai hobi.

BUAT pencinta kucing, anda kini berpeluang menjadikan hobi sebagai kerjaya yang menguntungkan.

Pada waktu ini, perkembangan dalam bidang industri penjagaan haiwan tempatan menyaksikan wujudnya peluang pekerjaan baharu.

Mentor pendandan kucing daripada JM Academy by Just Pets Megastore, Mazlan Chik Rus berkata, aktiviti sebagai pendandan kucing kini sudah tidak lagi dianggap semata-mata sebagai hobi.

BACA LAGI: Bekas jurutera petroleum tolak tepi soal untung, buka gim demi bantu orang lain

BACA LAGI: Siap belajar bertanam 2 minggu, petani B40 di Putrajaya bakal tuai hasil cili cecah RM1.2 juta

Ia sudah berubah menjadi satu pekerjaan yang bukan sahaja menggabungkan rasa cinta terhadap haiwan dengan kemahiran yang praktikal, malah menawarkan potensi pendapatan lebih baik.

Mazlan berkata, kemajuan yang berlaku dalam industri tersebut antara lain kerana lebih ramai pemilik haiwan peliharaan kini bersedia melabur dalam perkhidmatan dandanan yang berkualiti.

"Penjaga kucing yang mahir sangat diperlukan, dan sesiapa yang mempunyai latihan yang betul boleh membina perniagaan yang berjaya atau mencari pekerjaan yang stabil di salun dandanan," katanya yang merupakan lulusan Universiti Sains Malaysia (USM).

Memetik laporan Standard Insights’ Consumer Report Malaysia 2023, Mazlan berkata, 26.4 peratus rakyat Malaysia memiliki pelbagai jenis haiwan peliharaan dengan kucing merupakan haiwan peliharaan paling popular dimiliki di negara ini, iaitu 77.7 peratus.

6228931515828519505

Mazlan berkata, kerja pendandan haiwan peliharaan adalah kemahiran yang diiktiraf di bawah program TVET. — Facebook/JM Academy

“Terdapat pasaran besar untuk penjaga kucing memandangkan kesedaran tentang penjagaan dan dandanan haiwan peliharaan meningkat, lebih ramai pemilik haiwan peliharaan menyedari kepentingan dandanan tetap untuk kesihatan dan kesejahteraan kucing mereka.

"Ini mendorong permintaan untuk perkhidmatan dandanan profesional.

“Individu yang masih di peringkat pemula boleh menjangkakan memperoleh gaji kira-kira RM2,000 atau lebih, manakala pendandan muda mungkin memperoleh RM3,000 dan ke atas.

"Bagi yang sudah berpengalaman, mereka boleh mendapat lebih daripada RM5,000. Pendandan juga boleh mendapat bayaran komisen berdasarkan jumlah kucing yang mereka jaga,” katanya.

Dia berkata demikian ketika membuat perkongsian semasa Star Education Fair 2024 di Pusat Pameran Pavilion Bukit Jalil di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Mazlan berkata, kerja pendandan haiwan peliharaan adalah kemahiran yang diiktiraf di bawah program pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET).

422660999_10225746739715191_6520509361874087013_n

Kerja mendandan haiwan peliharaan kini sudah menjadi satu pekerjaan yang berpotensi mendatangkan pendapatan lumayan. — Facebook/Mazlan Chik Rus

“Orang ramai biasanya mengaitkan TVET dengan sektor automotif, kejuruteraan dan perkhidmatan penjagaan.

"Tetapi terdapat juga industri penting lain seperti dandanan kucing yang boleh membuka peluang kerjaya kepada mereka yang mungkin tidak berminat dalam bidang teknikal yang tradisional.

“Terdapat juga peluang untuk meneruskan pendidikan lanjutan dalam dandanan kucing, malah sehingga ke peringkat sarjana,” kata Mazlan, yang juga penjaga kucing bertauliah di bawah Universal Cat Association (UCA).

Anak kelahiran Bagan Serai, Perak itu berkata, Akademi JM menawarkan diploma dalam bidang dandanan kucing, yang diiktiraf oleh institut perniagaan dan TVET Kuala Lumpur (KLTVET) dan sijil penjagaan kucing Peringkat C antarabangsa yang diiktiraf di negara seperti Singapura, Taiwan, Thailand dan China.

Beliau berkata, pelajar yang baru keluar dari sekolah menengah dan pemilik haiwan peliharaan boleh mendaftar dalam kursus sepenuh masa, sambilan atau segera termasuk menyertai bengkel diadakan untuk menguasai teknik asas atau lanjutan menggunting.

"Kursus sambilan ini sesuai untuk orang dewasa yang bekerja dengan jadual yang padat, manakala kursus sepenuh masa sesuai dengan lepasan sekolah yang boleh memberikan komitmen penuh untuk pengajian mereka," katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram