SIAPA sangka seorang bekas penagih dadah berjaya keluar dari kepompong kotor dan mampu membuktikan kelebihan untuk menyumbang kepada masyarakat.
Bergelumang dengan dadah lebih 10 tahun, Mohd Syafiq Affizuddin Zulkifli tidak pernah berputus-asa untuk membawa perubahan positif dalam hidupnya.
Terlibat ketika masih di usia setahun jagung, Mohd Syafiq mengakui bahawa sukar untuk berhenti mengambil dadah dalam waktu yang singkat.
Mohd Syafiq antara peserta program TEAM yang memenangi anugerah SAY pada 6 Ogos lalu.
Katanya, dia terjebak dalam pengambilan dadah itu sejak umur 15 tahun malah mengakui ia satu kesilapan besar pernah dilakukannya.
Syafiq yang sudah menyesali perbuatannya berkata, sifat ingin tahu yang terlalu kuat juga menyebabkannya mahu mencuba dadah ketika itu.
"Pada waktu itu, saya suka dan rajin bergaul dengan ramai orang dan di kawasan rumah saya pula banyak aktiviti penjualan dadah.
"Saya pula selalu cari kerja-kerja sambilan di kebun-kebun dan bila ada duit itu mulalah rasa nak tahu macamana ambil dadah," katanya kepada Majoriti.
Dia yang kini sudah dua bulan bekerja sebagai fasilitator di Komuniti Belia Selangor (SAY) mengucapkan rasa syukur terhadap perubahan dirinya.
Menceritakan sedikit kisah ketika penglibatannya, Mohd Syafiq mendedahkan bahawa tindakan mengambil dadah juga adalah disebabkan pengaruh orang sekeliling.
"Saya tak bekerja tetap pada masa itu, tetapi sering ikut tokan (pengedar dadah) hantar barang (dadah).
"Jadi, daripada itu saya diberikan upah dan wang," katanya.
Mohd Syafiq memulakan perjalanannya bersama SAY.
Mohd Syafiq berkata, heroin dan syabu antara jenis dadah yang sering diambil sebelum berhenti.
Katanya lagi, dia berjaya berhenti mengambil dadah selama dua tahun selepas kali kelima keluar dari Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) di Sungai Besi, Selangor.
Mohd Syafiq berkata, sumber kekuatannya untuk menempuhi ujian hidup itu adalah ahli keluarga terutama kakaknya.
Katanya, kakak keduanya antara individu yang banyak memberi dorongan serta kata-kata semangat buatnya meskipun sering berdepan dengan pelbagai tanggapan negatif daripada orang ramai.
"Ahli keluarga terutamanya kakak kedua saya, Amin yang banyak bagi sokongan, selalu ambil berat dan sentiasa mahu tarik saya untuk berubah.
"Dia juga selalu pesan pada saya untuk keluar dari dadah, cari kerja lain dan mulakan hidup baharu,” luahnya.
Anak kelima daripada tujuh beradik itu berkata, kakaknya yang merupakan seorang suri rumah sepenuh masa juga mempunyai hasrat untuk melihat Mohd Syafiq meneruskan kehidupan dengan berjaya.
Berkongsi lanjut tentang tekadnya untuk keluar dari kelompok dadah, Mohd Syafiq tidak menafikan bahawa penghijrahannya antara faktor yang membantunya selama ini.
Mohd Syafiq berkongsi serba sedikit tentang perjalanan hidupnya ketika terlibat dengan dadah.
Menurutnya, dia terpaksa meninggalkan kampung halaman dan kenalan di Johor untuk mengelakkannya terlibat kembali ke dalam sarang dadah.
Sedar akan niatnya itu, Mohd Syafiq mengambil langkah memutuskan sebarang ikatan dengan mana-mana rakan yang pernah terlibat dalam pengambilan dadah.
“Bila saya masuk di PUSPEN Sungai Besi itu dan saya terpilih dalam program TEAM SAY, saya dah bertekad mahu pulihkan diri.
“Mereka juga galakkan saya berhijrah dan saya ambil keputusan tidak bergaul lagi malah, sudah lebih setahun saya tak pulang ke kampung berjumpa kawan lama,” katanya.
Mohd Syafiq pada masa sama berkongsi detik memilukannya ketika ditangkap dan ditahan dalam penjara kali pertama di Johor pada usianya di awal 20-an.
Katanya, pemergian arwah ibunya pada ketika itu juga memberi tamparan hebat buat dirinya sepanjang perjalanan proses pemulihan.
Mohd Syafiq yang sudah kehilangan kedua ibu bapanya sejak kira-kira lebih lima tahun itu menyatakan bahawa hidupnya kini hanya bergantung pada diri sendiri dan sokongan adik beradik lain.
Rakan-rakan seperjuangan di SAY yang juga banyak membantu Mohd Syafiq.
Ditanya pula tentang rancangannya selepas menyertai SAY, Mohd Syafiq berazam mahu bergiat aktif dengan melaksanakan banyak lagi program membina jati diri khususnya melibatkan bekas penagih dadah.
"Saya sekarang sedang giat sertai program-program sebagai fasilitator dalam membawa semangat bangkit daripada kejatuhan terutamanya yang pernah terlibat dengan dadah.
"Kehidupan dengan dadah bukan suatu yang indah, jadi saya mahu semua bekas penagih boleh berubah dan saya sebagai seorang daripadanya perlu beri contoh baik kepada mereka.
"Bukan itu sahaja, program jati diri yang saya lakukan juga adalah untuk memberi pendedahan kepada terutamanya kanak-kanak dan golongan ibu bapa sebagai pencegahan awal," katanya.
Mengambil iktibar daripada kisahnya, Mohd Syafiq tidak menolak bahawa ketagihan kepada dadah turut boleh menyebabkan kematian.
Pernah menjadi saksi beberapa kematian rakan-rakannya suatu ketika dahulu disebabkan ketagihan, Mohd Syafiq menyarankan agar masyarakat tidak mengambil remeh tentang perkara itu.
Sarannya, setiap individu yang terlibat dengan dadah memerlukan sokongan dan dorongan yang kuat oleh orang sekeliling tanpa dinilai dengan perspektif negatif. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram