[VIDEO] Lepas tular bergaduh, Hafiz Suip tampil minta maaf, siap salam cium tangan akui kesalahan


  • Tular
  • Sabtu, 31 Ogos 2024

Hafiz (kiri) bergambar dengan pemandu terlibat dalam pergaduhan bersamanya dalam satu video tular pada Jumaat. — Facebook/UthmanDaud

MEDIA sosial pada Jumaat dikejutkan dengan video pergaduhan melibatkan penyanyi popular, Hafiz Suip yang dirakam berkelahi bersama seorang individu lain dalam satu kejadian di sebuah jalan raya.

Berdasarkan klip berdurasi 43 saat itu, Hafiz yang juga bekas juara Anugerah Juara Lagu (AJL) dilihat bertindak agresif dan cuba mengasari seorang pemandu lain.

Kejadian itu dipercayai berpunca selepas wujudnya provokasi daripada seorang individu yang tidak dikenali dipercayai semasa selepas waktu solat Jumaat.

BACA LAGI: Bina aplikasi percuma bantu calon SPM ulang kaji pelajaran, pelajar MMU tersenarai kaut ganjaran hampir RM500,000

BACA LAGI: Graduan diploma dari Muar ambil peluang beralih bidang penuhi cita-cita miliki kebun sendiri

Difahamkan, insiden berkenaan berlaku ketika penyanyi tersebut dan beberapa rakannya dalam perjalanan menziarahi kediaman peminat artis itu yang baru sahaja meninggal dunia baru-baru ini.

Bagaimanapun, dalam perkembangan terbaharu, Hafiz atau nama sebenarnya, Mohd Hafiz Mohd Suip, 34, kemudiannya dilaporkan sudah bersemuka dan saling bermaafan antara satu sama lain dengan pemandu lelaki terbabit.

Menerusi satu video dikongsikan di TikTok oleh akaun uthmandaud yang juga merupakan rakannya, pelantun lagu Bahagiamu Deritaku itu turut tampil memohon maaf atas insiden yang berlaku.

“Kita bagi tenang. Sebenarnya kita tiada apa pun (bergaduh). Saya pun mengaku salah, saya pun marah ada buat sesuatu ‘uncle’ tidak suka, jadi saya minta maaf.

“Sebagai seorang yang lebih budak (muda) daripada ‘uncle’ saya minta maaf,” tutur Hafiz yang juga penyanyi lagu popular Awan Nano.

Berdasarkan klip tersebut, Hafiz dilihat turut mencium tangan lelaki tersebut ketika kedua-duanya bersalaman.

2887634

Tangkap layar pergaduhan membabitkan Hafiz bersama seorang individu tidak dikenali pada Jumaat.

Malah, kedua-duanya juga dirakam berpelukan ketika di akhir video terbabit.

Pertemuan antara kedua-dua pihak itu dipercayai berlaku pada Jumaat selepas kejadian berkenaan.

Terdahulu, seorang individu dipercayai rakan kepada Hafiz yang menggunakan nama Uthman Daud tampil memberikan penjelasan berhubung insiden tersebut.

Dalam satu hantaran di Facebook, lelaki itu berkata, situasi tegang terbabit ketika mereka sedang dalam perjalanan membeli hadiah untuk melakukan ziarah ke rumah keluarga peminat penyanyi tersebut.

"Ketika dalam perjalanan, ada sebuah kenderaan yang 'mencucuk' dari belakang, maka provokasi pun berlaku dari kedua-dua belah pihak," ujarnya.

Menurut Uthman Daud, situasi bertambah serius apabila Hafiz dikasari dan diserang dengan semburan serbuk lada atau pepper spray sehingga mencetuskan pergaduhan.

"Kemuncaknya adalah apabila pemandu tersebut mula menghalang laluan dan berhentikan kereta kami, kemudian kedua-duanya tengah marah dan keluar dari kereta.

"Tiba-tiba pemandu tersebut sembur muka Hafiz dengan 'pepper spray'. Saya cuba leraikan keadaan, tetapi pemandu tersebut masih meluru ke arah Hafiz, dalam keadaan saya cuba leraikan keadaan, saya juga disiku dan disembur sehingga saya sesak nafas, jadi saya sendiri pun melepaskan tumbukan selepas melihat dia terlalu agresif,"kongsinya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram