'Hajat nak kahwin tak kesampaian', ramai sebak baca pendedahan adik Nidza Afham


  • Massa
  • Rabu, 14 Ogos 2024

Kemesraan yang ditunjukkan antara Nidza Afham Mokhtar bersama Aufa.

PENYANYI Aufahanie mendedahkan hasrat arwah abangnya, Nidza Afham Mokhtar yang memiliki keinginan untuk menamatkan zaman bujang.

Bagaimanapun, ALLAH lebih menyayangi lelaki berusia 25 tahun itu apabila dia ditemukan meninggal dunia pada Rabu malam.

Mayat mangsa yang memakai pakaian berwarna gelap dengan tulisan nombor 56 ditemukan di Sungai Klang pada lewat petang Rabu.

BACA LAGI: [VIDEO] Rakaman CCTV terputus sukarkan usaha jejak Nidza Afham, bapa laung azan harap anak pulang — Kakak

BACA LAGI: Baju hitam, jersi nombor 56 jadi petunjuk, mayat lelaki disyaki Nidza Afham terdampar di Jambatan Sungai Klang

- 1

Nidza Afham dilaporkan hilang selepas keluar joging di Stadium Klang, Selangor pada Selasa. — Bomba/ Media sosial

Menerusi media sosial, kira-kira dua jam sebelum mayat mangsa ditemui, Aufa, 21, merayu agar abangnya itu pulang ke rumah.

"Baliklah Am (panggilan Afham). Kau kata kau nak kahwin. Baliklah," katanya.

Aufa turut mendedahkan hubungan rapat bersama abangnya itu yang disifatkan sebagai manusia paling baik yang pernah dijumpai.

"Dia orang yang paling baik di dunia. Bukan sebab dia abang saya, tapi memang dialah manusia paling baik saya pernah jumpa.

"Kawan gelak, kawan nyanyi, nak pinjam itu ini, mintak untuk hantar dan ambil ke sana sini, memang semua dia buat tanpa sebarang keluhan. Am! Ya ALLAH," katanya lagi.

Pemilik nama sebenar Nur Aufahanie Mokhtar itu turut sering berkongsi pelbagai rakaman video yang melucukan dengan abangnya itu pada setiap hari.

"Dialah yang saya paling rapat boleh share cerita dan boleh menangis sama-sama kalau sedih.

"Dialah tempat saya hantar video kelakar TikTok, setiap hari without fail.

"Abang saya selalu tolong walaupun dia dalam keadaan penat, tiada duit, tengah gaduh pun tetap bantu. Tidak hanya itu, abang saya juga rajin dan baik," katanya.

Dalam pada itu, kakak kepada Nidza Afham, Nur Irfahanie Mokhtar turut memuat naik kata-kata berbaur kesedihan seolah-olah menguatkan lagi berita mengenai kematian adiknya itu.

"Innalillahi wa inna Ilaihi Raji'un... Allahuakbar. ALLAH," katanya.

Sebelum ini, Majoriti melaporkan tentang Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor yang mengesahkan penemuan satu mayat lelaki dewasa di sekitar Jambatan Sungai Klang, Selangor pada Rabu malam.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, mayat lelaki berkenaan memakai pakaian berwarna gelap dengan tulisan nombor 56.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan kemudian mengesahkan mayat lelaki yang ditemui di Sungai Klang pada lewat petang Rabu dipercayai penyanyi Nidza Afham Mokhtar.

Allahyarham Nidza Afham merupakan bekas peserta I Can See Your Voice Malaysia musim ketiga dan terkenal menerusi lagu berjudul Tambah Satu Lagu.Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram