UNTUK membuat perubahan dan memberi impak positif kepada masyarakat, tanggungjawab itu semata-mata merupakan tanggungjawab kepada orang dewasa sahaja.
Sesiapa sahaja, tanpa mengira usia, mempunyai peluang dan potensi untuk melakukannya.
Perkara ini dibuktikan sendiri pelajar, Ong Yong Xun, yang berjaya memberikan impak cukup signifikan hasil ciptaan aplikasi yang dibangunkannya.
BACA LAGI: Siap faham loghat Kedah dan Kelantan, MaLLaM versi Malaysia lebih unik dari ChatGPT
Sebagai calon Sijil Pelajaran Malaysia, Yong Xun yang tinggal di Petaling Jaya, Selangor sering terpaksa mengulang kaji pelajaran daripada buku dan nota fizikal Ketika dalam perjalanan menaiki kereta ke kelas tuisyen.
“Membaca dalam kereta sudah cukup menyakitkan mata saya, apatah lagi melakukannya pada waktu malam dengan hanya menggunakan telefon pintar sebagai lampu suluh,” kongsinya yang kini berusia 24 tahun.
Pengalaman tersebut membuatnya berfikir mengenai cara terbaik untuk membolehkannya mengulang kaji pelajaran di mana-mana tanpa mengira Waktu.
Bertitik tolak daripada persoalan itu, dia mula merencana usaha pada 2021 untuk mencipta aplikasi mudah alih percuma untuk memudahkan pelajar mengulang kaji pelajaran.
Pada waktu itu, Yong Xun baru sahaja menamatkan pengajian Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
Langkah untuk menyediakan kemudahan tersebut membawa dia untuk membangunkan aplikasi yang dikenali sebagai JomStudy.
Aplikasi berkenaan menawarkan nota ulang kaji ringkas, kuiz, kertas peperiksaan dan pelbagai alat pendidikan untuk pelajar sekolah menengah Malaysia.
Sebagai seorang pengaturcara atau coder yang belajar secara mandiri, Yong Xun berkata, dia bergantung dengan YouTube dan Google untuk membangunkan aplikasi berkenaan. — Instagram/Ong Yong Xun
Menurut Yong Xun, JomStudy menyediakan bahan pembelajaran mudah diakses kepada lebih 450,000 pelajar sejak dibangunkan, dengan lebih 50,000 pelajar menggunakan aplikasi itu untuk mengulang kaji setiap bulan.
“Disebabkan JomStudy, pelajar kini boleh belajar di mana sahaja, pada bila-bila masa menggunakan platform kami, dan tidak hanya melayari media sosial,” katanya kepada StarEdu.
Bagaimanapun, Yong Xun yang kini merupakan pelajar perakaunan di Universiti Multimedia di Cyberjaya berkata, perjalanan untuk mencapai perkara tersebut bukan mudah.
Pemuda itu berkata, cabaran terbesar yang dihadapinya adalah membina dan menulis kod bagi aplikasi daripada awal.
Sebagai seorang pengaturcara atau coder yang belajar secara mandiri, dia bergantung pada YouTube dan Google.
Bahkan, ada waktu apabila dia terpaksa bertanyakan masalah dihadapi kepada orang tidak dikenali secara dalam talian apabila berdepan masalah.
Antaranya mengenai pepijat yang terjadi terhadap aplikasi dibangunkan atau sebarang masalah berlaku kepada komputernya.
Walaupun JomStudy pada mulanya memenuhi keperluan pelajar Tingkatan Empat dan Lima, ia kini berkembang untuk merangkumi kandungan bagi pelajar Tingkatan Satu hingga Tiga.
Melangkah ke hadapan, Yong Xun merancang untuk mempertingkatkan aplikasi itu dengan menambah lebih banyak ciri interaktif dan mengembangkan sumber kandungannya.
“Selain itu, kami bercadang untuk mencapai lebih ramai pelajar di seluruh dunia menerusi kerjasama dengan institusi pendidikan dan organisasi,” katanya.
Susulan daripada impak positif yang dibawa oleh JomStudy, Yong Xun kini dicalonkan untuk memenangi anugerah di peringkat antarabangsa iaitu Chegg.org Global Student Prize 2024.
Anugerah tahunan bernilai USD100,000 (RM437,399) ini diberikan kepada pelajar luar biasa yang memberikan impak terhadap pembelajaran, kehidupan dan masyarakat secara keseluruhan.
Yong Xun kini termasuk dalam senarai pendek 50 teratas yang dipilih daripada lebih 11,000 pencalonan dan permohonan dari 176 negara.
10 finalis teratas dijangka diumumkan pada September dengan pemenang akan dipilih oleh Global Student Prize Academy pada akhir tahun ini.
Yong Xun berkata, dia menyertai anugerah berkenaan selepas digalakkan oleh rakan-rakannya.
“Inspirasi untuk ikut serta datang daripada keinginan untuk menunjukkan potensi teknologi pendidikan dalam mengubah pengalaman pembelajaran pelajar.
"Saya rasa bertuah dan teruja untuk tersenarai dalam 50 teratas. Pengiktirafan ini adalah bukti kerja keras dan dedikasi yang telah saya curahkan, dan saya sangat bersyukur untuk itu,” katanya.
Ditanya tentang peluangnya untuk tersenarai dalam 10 teratas, Yong Xun berkata, dia menyedari mengenai saingan sengit yang turut ditampilkan calon lain.
“Walaupun saya berharap dan yakin dengan impak telah diberikan JomStudy, saya juga sedar tentang pencapaian luar biasa yang telah dicapai calon lain.
"Tanpa mengira keputusannya, tersenarai dalam 50 teratas sudah merupakan pencapaian besar bagi saya.”
Dalam pada itu, ini bukan kali pertama Yong Xun mendapat pengiktirafan terhadap impak positif yang berjaya dihasilkan.
Dia turut pernah ditampilkan dalam senarai “30 Under 30 Asia” oleh majalah ekonomi berpangkalan di Amerika Syarikat, Forbes dan dan “Gen.T Leaders of Tomorrow” oleh majalah Britain, Tatler.
Di sebalik penghargaan yang diterima Yong Xun berkata, aspek yang paling memuaskan ketika membangunkan JomStudy adalah melihat kesan positifnya terhadap kehidupan pelajar yang mencapai peningkatan gred dan keyakinan diri.
“Ia turut menambahkan lagi motivasi saya untuk terus belajar apabila mengetahui bahawa ia akan terus memberi manfaat kepada pengguna dan komuniti pada masa hadapan,” katanya.
Buat pelajar yang bercita-cita mahu membuat perubahan social, Yong Xun turut menitipkan pesanan.
"Kenal pasti masalah yang anda lihat dan tertarik serta ambil langkah kecil yang konsisten untuk menyelesaikannya.
“Kerjasama dan ketekunan adalah kunci untuk memberi impak yang bermakna,” katanya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram