Operasi menyelam SAR mangsa tanah jerlus Masjid India temui jalan buntu


  • 112
  • Jumaat, 30 Ogos 2024

Operasi mencari mangsa yang jatuh ke dalam tanah jerlus itu diteruskan memasuki hari ketujuh operasi.

USAHA Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk mengesan wanita warga India yang jatuh ke tanah jerlus di hadapan Jalan Masjid India dengan melakukan pencarian di laluan pembentung berdekatan tidak membuahkan sebarang hasil.

Tinjauan media mendapati dua penyelam dari Akademi JBPM Wilayah Utara sudah turun ke kawasan pembentungan seawal pukul 4 pagi untuk tiba ke bahagian yang terletak kira-kira 44 meter daripada lokasi kejadian.

Kerja-kerja menyelam dilakukan selepas pasukan mencari dan menyelamat (SAR) menutup bahagian saluran dan melencongkan aliran masuk dalam usaha mengurangkan paras air daripada 1.5 meter hingga ke 0.8 meter di dalam saluran kumbahan iaitu kaedah sama yang digunakan sebelum ini.

BACA LAGI: Loji IWK Pantai Dalam lokasi harapan terakhir temukan mangsa terjerumus lubang Masjid India

BACA LAGI: PM Anwar arah DBKL jumpa keluarga mangsa terjerumus lubang gergasi dekat Masjid India

cctv-tanah-jerlus

Mangsa (dalam bulatan) beberapa saat sebelum terjatuh ke dalam tanah jerlus di hadapan Masjid India.

Pada pukul 11.20 Khamis malam, sebuah kren kelihatan tiba di lokasi untuk mengeluarkan objek dari tanah jerlus itu selain untuk memasang pam yang boleh mengeluarkan air antara 10,000 sehingga 20,000 liter dari saliran kumbahan.

Bagaimanapun, setelah sejam operasi menyelam dilakukan, usaha itu jelas tidak membuahkan sebarang hasil.

Anggota pasukan SAR melaporkan penyelam berdepan beberapa kesukaran dan halangan, termasuk longgakan batu dan pasir di dalam pembentung serta arus kuat menyukarkan usaha untuk tiba ke kawasan 'backlog'.

Turut hadir di lokasi kejadian untuk memantau operasi SAR ialah Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad dan Ketua Polis Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram