Keluarga Altantuya fail saman JDS terhadap Razak Baginda berhubung ganti rugi RM9.2 juta


Keluarga Altantuya memfailkan JDS terhadap Abdul Razak Baginda (kiri) berhubung kegagalan membayar ganti rugi termasuk faedah lebih RM9.2 juta.

KELUARGA bekas model Mongolia, Altantuya Shaariibuu yang mati dibunuh telah memfailkan notis kebankrapan menerusi Tetuan Karpal Singh & Co terhadap Abdul Razak sebagai penghutang penghakiman.

Ini selepas penganalisis politik itu gagal membayar ganti rugi termasuk faedah lebih RM9.2 juta kepada keluarga berkenaan seperti yang diputuskan Mahkamah Tinggi pada 2022.

Menerusi dokumen mahkamah, ganti rugi itu termasuk RM5 juta yang diperintahkan Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk dibayar kepada keluarga berkenaan dalam keputusannya terhadap tuntutan sivil berkaitan kematian Altantuya.

BACA LAGI: Peruntukan RM100 juta diluluskan selenggara jalan di Semenanjung — Ahmad Maslan

BACA LAGI: Tak perlu isytihar kawasan Masjid India zon tidak selamat — KPN

Jumlah tersebut membabitkan jumlah ganti rugi RM5 juta, faedah lima peratus yang dikira dari tarikh saman difailkan sehingga tarik notis kebankrapan difailkan berjumlah RM4,248,282.06 dan kos sebanyak RM25,000.

JDS difailkan oleh bapa Altantuya, Shaariibuu Setev dan dua lagi ahli keluarga, Altantsetseg Sanjaa dan Mungunshagai Bayarjargal, melalui firma guaman Tetuan Karpal Singh pada 24 Julai lalu.

JDS ialah saman yang dikeluarkan oleh mahkamah untuk memaksa penghutang hadir ke mahkamah untuk memberikan maklumat tentang asetnya dan bagaimana ia boleh dilupuskan untuk menyelesaikan hutang penghakiman.

Razak memfailkan penangguhan JDS melalui Tetuan Dass, Jainab dan Associates pada 22 Ogos lalu.

Dia juga memohon untuk mengetepikan atau membatalkan saman atas alasan bahawa RM9.25 juta yang dituntut daripadanya, 'tidak betul' dan 'mengelirukan'.

Mahkamah Tinggi Shah Alam menetapkan 12 November untuk pengurusan kes.

Pada 16 Disember 2022, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Vazeer Alam Mydin Meera (kini Hakim Mahkamah Rayuan) memerintahkan kesemua defendan secara bersama membayar ganti rugi berjumlah RM5 juta kepada keluarga mendiang dan kos sebanyak RM25,000 selepas didapati bertanggungjawab atas kematian wanita itu.

Selain Abdul Razak, turut dinamakan sebagai defendan dalam kes saman itu ialah dua bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar serta kerajaan Malaysia.

Dalam keputusan itu, Hakim Vazeer Alam Mydin Meera (kini hakim Mahkamah Persekutuan) memerintahkan empat defendan membayar kos RM25,000 setiap seorang.

Pada 4 Jun 2007, ibu bapa Altantuya, Shaariibuu dan Altantsetseg Sanjaa serta cucu mereka Mungunshagai Bayarjargal memfailkan saman RM100 juta terhadap defendan, menuntut ganti rugi RM100 juta.

Dalam pernyataan tuntutan mereka, plaintif berkata, kematian model itu mengakibatkan mereka mengalami kejutan mental dan trauma psikologi, dengan meminta pampasan serta ganti rugi teladan.

Razak pada mulanya didakwa bersama Sirul dan Azilah tetapi dia dibebaskan pada akhir kes pendakwaan pada 31 Oktober 2008 selepas mahkamah tidak menemui prima facie terhadapnya.

Sementara itu, Sirul dan Azilah kedua-duanya disabitkan pada 2009 atas pembunuhan Altantuya pada 2006.

Pada 2013, bekas anggota polis itu memenangi rayuan mereka di Mahkamah Rayuan tetapi pada 2015, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan Mahkamah Tinggi dan mengembalikan hukuman mati ke atas kedua-dua lelaki terbabit. The Star/NURBAITI HAMDAN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram