SEBUT sahaja ChatGPT, ramai antara kita pastinya sudah mengetahui mengenainya yang merupakan antara teknologi internet cukup popular pada masa kini.
Dengan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI), ChatGPT disifatkan mampu memahami dan memberi respons teks yang diberikan dengan interaksi yang cukup mirip seperti manusia.
Dibangunkan syarikat OpenAI, ChatGPT merupakan salah satu contoh mesin pembelajaran bahasa atau language learning model (LLM).
BACA LAGI: Bekas jurutera petroleum tolak tepi soal untung, buka gim demi bantu orang lain
BACA LAGI: Siap belajar bertanam 2 minggu, petani B40 di Putrajaya bakal tuai hasil cili cecah RM1.2 juta
Secara asasnya, LLM merupakan teknologi AI atau chatbot yang dilatih untuk memahami, menjana, dan mentafsir bahasa digunakan oleh manusia.
Selain ChatGPT, terdapat beberapa lagi LLM lain yang kini digunakan, antaranya Gemini yang dihasilkan Google dan Llama (Meta).
Di Malaysia, sebuah syarikat pemula tempatan melancarkan sebuah LLM yang dinamakan sebagai MaLLaM.
Dibangunkan oleh Mesolitica, ia mempunyai beberapa ciri unik yang cuba diketengahkan antaranya keupayaan memahami bahasa Melayu dengan kearifan konteks bahasa dan budaya tempatan.
Ia termasuk penggunaan jawi, Manglish, Mandarin dan Tamil dan termasuk loghat yang digunakan masyarakat di Kedah dan Kelantan.
Ketua Pegawai Eksekutif, Mesolitica, Khalil Nooh. — Khalil Nooh
Ketua Pegawai Eksekutif, Mesolitica, Khalil Nooh berkata, model LLM tersebut dijangka semakin mendapat permintaan dengan meningkatkan kebergantungan terhadap penggunaan AI dalam bidang komersial di dalam negara khususnya dalam sektor perkhidmatan pelanggan.
"Jadi dengan ada AI seperti ini, maknanya kita dapat betul-betul faham apa yang pelanggan mahukan walaupun dia cakap bahasa rojak atau cakap slanga Kelantan," ujarnya.
Ujarnya, ciri berkenaan disifatkan cukup penting lebih-lebih lagi buat syarikat yang memiliki pengguna di seluruh Malaysia dengan kepelbagaian latar belakang dan bahasa.
"Bayangkan kalau 80 peratus pengguna sesebuah syarikat itu adalah dari luar bandar dan dia nak bertanya melalui chatbot yang disediakan.
"Di sinilah MaLLam boleh membantu untuk faham pertanyaan tersebut. Kalau dia cakap loghat Kedah, mungkin kita tidaklah akan balas dalam bahasa tersebut sebagai perniagaan perlu profesional.
"Tapi yang penting chatbot ini faham apa yang ditanyakan dan dia balas dengan bahasa standard," katanya.
Di samping itu, Khalil berkata, berbeza dengan LLM seperti ChatGPT, MaLLam yang menggunakan model sumber terbuka atau 'open source' turut menawarkan perlindungan daripada segi data terhadap perniagaan yang menggunakan khidmatnya.
Mesolitica kini turut sedang menjalankan konsep pembuktian bersama AWS. — Khalil Nooh
Ujarnya, aspek itu amat penting khususnya bagi perniagaan yang menjalankan perkhidmatan seperti perbankan dan juga di bawah sektor kerajaan.
“Apabila anda membuat pertanyaan kepada ChatGPT misalnya, data mengenainya akan pergi kepada server (pelayan) mereka.
“Tetapi dengan model sumber terbuka seperti kami, mana-mana pengguna boleh menjadi hos mereka sendiri set matlamat, idea, peraturan dan amalan mereka sendiri.
"Jadi mereka tidak perlu bergantung kepada syarikat tertentu seperti OpenAI untuk memastikan sistem perkhidmatan mereka itu berfungsi," ujarnya.
MaLLaM dilatih menggunakan model-model berparameter 1.1 bilion, 3 bilion dan 5 bilion, melalui dataset bersaiz 349GB.
Sementara itu, Khalil berkata, Mesolotica ketika ini sedang menjalankan kerjasama dengan Jabatan Perangkaan Malaysia untuk melaksanakan pembuktian konsep atau proof of concept bagi produk chatbotnya.
Ujarnya, proses itu akan berlangsung sehingga hujung tahun ini.
Pada masa sama, beliau berkata, proses pembuktian konsep itu turut melibatkan beberapa agensi antaranya pusat penyelidikan gunaan nasional MIMOS dan juga syarikat anak syarikat Amazon iaitu Amazon Web Services (AWS). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram