Lepas 6 dekad merdeka, masih tiada jalan pintas selesai isu pembinaan negara bangsa — Mohammed Hussein


  • Massa
  • Sabtu, 24 Ogos 2024

Mohammed ketika majlis pelancaran bukunya 'How Malaysia Missed 7 Chances At Nation Building, Can We Learn From Them?' di INCEIF, Kuala Lumpur pada Sabtu.

ISU mengenai pembinaan negara bangsa dilihat masih menjadi masalah yang terus menghantui Malaysia meskipun selepas lebih enam dekad negara mengecapi kemerdekaan.

Bermula daripada isu perpaduan kaum, kepelbagaian sistem pendidikan, politik perkauman, toleransi agama sehinggalah kepada keadilan pembahagian hasil ekonomi.

Kesemua perkara tersebut menjadi masalah yang kerap kali muncul tanpa sebarang penyelesaian yang konkrit.

BACA LAGI: Bekas jurutera petroleum tolak tepi soal untung, buka gim demi bantu orang lain

BACA LAGI: Siap belajar bertanam 2 minggu, petani B40 di Putrajaya bakal tuai hasil cili cecah RM1.2 juta

Lebih menyedihkan, isu berkenaan juga dilihat seakan-akan menjadi duri dalam daging bagi Malaysia untuk mencapai potensi sebenar yang dimiliki.

Bagaimanapun, bagi Pengerusi Kumpulan Takaful Malaysia, Datuk Mohammed Hussein, beliau menyimpan keyakinan terhadap keupayaan negara bagi menyelesaikan kesemua isu yang berbangkit.

Namun, untuk memastikan hasrat itu tercapai, beliau menegaskan masyarakat dan negara perlu terlebih dahulu sedar bahawa tiada jalan pintas untuk mencapainya.

Menurutnya, untuk merealisasikan hasrat tersebut, rakyat Malaysia perlu menangani beberapa isu legasi di dalam proses pembinaan negara bangsa yang disifatkannya mengekang aspirasi kemerdekaan negara.

Perkara tersebut disentuh dengan cukup mendalam menerusi buku kedua tulisan Mohammed bertajuk 'How Malaysia Missed 7 Chances At Nation Building, Can We Learn From Them?' yang dilancarkan di Pusat Antarabangsa Pendidikan Kewangan Islam (INCEIF), Kuala Lumpur pada Sabtu.

Dato' Mohammed Hussein Book Launch and Book Signing of 'How Malaysia Missed 7 Chances,' aims to inspire national leaders to realign policies and strategies to support nation-building rather than undermine or postpone it. —YAP CHEE HONG/The Star

Mohammed ketika berucap semasa melancarkan bukunya 'How Malaysia Missed 7 Chances At Nation Building, Can We Learn From Them?' di INCEIF, Kuala Lumpur pada Sabtu.

Dalam ucapannya semasa memperkenalkan naskhah terbaharunya itu, Mohammed berkata, Malaysia sebagai sebuah negara seharusnya belajar daripada kesilapan yang dilakukan sepanjang sejarahnya supaya tidak diulangi.

"Kita harus belajar daripada kesilapan kita supaya kita tidak mengulanginya semula. Malaysia masih ada 33 tahun lagi sebelum mencapai usia 100 tahun. Kebanyakan daripada kita termasuk saya mungkin tidak akan ada lagi pada waktu itu.

"Tetapi menjadi tanggungjawab kita sekarang menyediakan generasi akan datang dengan pendidikan dan kemahiran diperlukan serta menegaskan semula nilai yang perlu dimiliki untuk memastikan negara berada di landasan yang benar.

"Mereka akan berhadapan dengan isu tinggalan legasi yang sekian lama menghalang kemajuan kita sejak merdeka. Oleh itu adalah penting untuk mereka memahami sejarah dan latar belakang kepada kesemua isu ini.

"Itulah tema buku ini. Melangkah ke hadapan dengan kelebihan yang kita miliki tetapi pada masa sama perlu berdepan dengan fakta mengenai masalah sebenar yang sedang kita hadapi," katanya.

Buku berbahasa Inggeris dengan 12 halaman ini dibahagikan kepada dua bahagian dan terdiri daripada 12 bab.

Bahagian Pertama yang diberikan tajuk Reflection menggariskan refleksi serta analisisnya terhadap tujuh peristiwa yang menjadi titik penting sejarah yang mengubah negara bangsa Malaysia.

Antaranya adalah pengunduran tentera Jepun pada 1945, cadangan pembentukan parti UMNO terdiri daripada pelbagai kaum oleh Datuk Onn Jaafar, proses kemerdekaan, peristiwa 13 Mei, Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan Agenda Bumiputera serta Wawasan 2020.

"Bahagian Satu adalah usaha saya untuk melihat semula di manakah peristiwa yang menyaksikan titik tolak di mana kita membuat keputusan yang salah. Jadi saya memilih apa yang saya anggap tujuh peristiwa dalam sejarah kita yang kita boleh renung dan fikir "bagaimana jika kita telah pada waktu itu dan membuat keputusan yang berbeza".

"Ia bukan satu usaha untuk mengubah sejarah. Sejarah memang tidak boleh diubah. Tetapi kita boleh menyoalnya untuk memahami mengapa kita tidak mengambil peluang tersebut dan melakukan apa yang sebenarnya perlu kita lakukan," ujarnya.

Untuk Bahagian Kedua buku ini yang diberi tajuk Aspiration, Mohammed berkongsikan mengenai idea penyelesaian jangka panjang dan jangka pendek untuk menangani akibat yang tidak diingini timbul antaranya daripada pelaksanaan dasar seperti DEB.

Dato' Mohammed Hussein Book Launch and Book Signing of 'How Malaysia Missed 7 Chances,' aims to inspire national leaders to realign policies and strategies to support nation-building rather than undermine or postpone it. —YAP CHEE HONG/The Star

Mohammed ketika majlis pelancaran bukunya 'How Malaysia Missed 7 Chances At Nation Building, Can We Learn From Them?' di INCEIF, Kuala Lumpur pada Sabtu.

Beliau turut mencadangkan model ekonomi Bumiputera baharu yang harus dilaksanakan di samping menekankan kepentingan supaya dasar dan pelaksanaan dilaksanakan agar selari dengan matlamat pembinaan negara bangsa Malaysia.

Mengulas mengenai proses untuk menyelesaikan naskhah terbaharunya itu, Mohammed yang juga Profesor Amalan INCEIF berkata, beliau turut membuat semakan di beberapa institusi penyelidikan termasuk di luar negara untuk memastikan kesahihan fakta tulisannya.

Antaranya Perpustakaan Negara, Arkib Negara, Perpustakaan Dewan Bahasa dan Pustaka, Perpustakaan Negara Singapura, Perpustakaan British, Arkib Negara British, Perpustakaan Bordellian dan Pusat Pengajian Islam di Universiti Oxford serta Perpustakaan Nasional Indonesia.

Mohammed merupakan tokoh korporat yang memiliki pengalaman selama lebih tiga dekad di kumpulan perkhidmatan kewangan terbesar di Malaysia, di Maybank, sebelum bersara pada 2008 sebagai Ketua Pegawai Kewangan merangkap Timbalan Presiden.

Selepas daripada itu, beliau turut memegang beberapa jawatan antaranya sebagai pengerusi beberapa syarikat tersenarai dan tidak tersenarai termasuk Gamuda pada 2013 hingga 2022 dan Danajamin (2009 - 2018).

Pada waktu ini, Mohammed menjawat kedudukan sebagai Pengerusi di tiga buah syarikat iaitu Credit Guarantee Corporation Berhad, Hap Seng Plantations Berhad dan Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram