SUDAH menjadi kewajipan untuk seorang anggota pertahanan awam menjalani latihan kawad perbarisan.
Formasi dan gerakan seragam dipamerkan dalam pertunjukan kawad sememangnya mencuri perhatian penonton yang seolah-olah terpaku dengan persembahan dipamerkan.
Namun, siapa sangka di sebalik pertunjukan kawad, terdapat beberapa syarat dan perkara perlu dilepasi terlebih dahulu sebelum menyertai perbarisan.
BACA LAGI: Sekolah Henry Gurney sahut cabaran, pamer formasi kawad Muay Thai, silat pada Hari Kebangsaan 2024
BACA LAGI: [VIDEO] Rebah ketika perbarisan Hari Kebangsaan ke-66, anggota RELA meninggal dunia
Jelas seorang bekas anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berpangkat Sarjan Mejar Saron Jalil, 65, ia merupakan perkara utama perlu dilepasi mana-mana anggota pertahanan dalam perbarisan kawad.
Saron telah berkhidmat selama 22 tahun bersama ATM.
"Reti kawad atau tidak itu semua belakang cerita, yang paling utama kena lepas ujian awal iaitu kilat kan kasut.
"Di era 1970-an, permulaan kami sebagai rekrut ATM diberikan kasut yang bertekstur menggerutu, tak licin dan cantik macam sekarang, jadi tugasan pertama kami adalah perlu gilap kasut sampai berkilat macam cermin.
"Selagi tak berkilat jangan berangan nak masuk perbarisan, tak tidur malam selagi tak kilat macam diminta," katanya kepada Majoriti.
Tambahnya, beberapa peralatan turut digunakan anggota terdahulu bagi mendapatkan hasil yang terbaik.
Saron (dua dari kanan) ketika berkhidmat dalam anggota tentera pada 1994.
Tidak menggunakan pengilat ataupun pewarna kasut seperti kebiasaan, Saron mendedahkan beberapa tip digunakan sepanjang 22 tahun berkhidmat dalam ATM.
"Nak kilatkan kasut tak mudah, kami kena guna sejenis besi yang dipanaskan, tenyeh pada bahagian hadapan kasut sehingga ia lembut, baru boleh guna pengilat hitam.
"Sapu bagi rata kemudian lap dengan kain dan jemur, bila dah kering sapu lagi pengilat dan lap sampai ia berkilat menyinar.
"Bila dalam kawad kasut memang kena berkilat, ia lambang disiplin seseorang anggota," ujarnya.
Dalam pada itu, Saron kini masih bergiat aktif dalam perbarisan kawad selaku jurulatih di Melaka.
Pernah mewakili skuad Veteran Angkatan Tentera Malaysia semasa sambutan Hari Kebangsaan satu ketika dahulu, khidmatnya masih ditagih pasukan ATM yang kerap memanggilnya sebagai jurulatih sempena pertunjukan negara.
Malah, identiti dan ujian mengilatkan kasut masih dipraktikkan kepada generasi muda yang disifatkan terlalu mudah berbanding zamannya satu ketika dahulu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram