BEKAS Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim menafikan dakwaan beliau terlibat dalam aktiviti perdagangan manusia di Myanmar.
Beliau menerusi hantaran di laman Facebook pada Khamis menjelaskan perkara itu dan telah membuat laporan polis berhubung kes terbabit.
"Saya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan mahkamah kepada pihak yang cuba mengaitkan dengan fitnah ini bertujuan menjatuhkan reputasi diri saya, info itu dikutip dari picisan media sembarangan, kebetulan kawan saya ajak bergambar sahaja pada projek di sana.
"Saya telah membuat laporan dan memberi keterangan di Bukit Aman berkaitan tuduhan liar beberapa pihak seperti Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) yang mengaitkan saya dengan aktiviti Myanmar sebagaimana yang tular di laman sosial pada Rabu.
"Terima kasih kepada kawan-kawan yang prihatin, Al hamdulillah saya kekal utuh berpegang kepada ajaran Islam dan tidak terlibat dengan mana-mana aktiviti yang bercanggah agama mahupun undang-undang Malaysia," katanya.
BACA LAGI: Lesap RM3.2 juta terpedaya sindiket pelaburan ayam kampung
BACA LAGI: Polis tahan Papagomo lepas baru selesai perbicaraan kes hasutan di mahkamah
Dalam pada itu Buletin TV3 melaporkan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah merakam keterangan ahli politik tersebut dan suaminya yang dikaitkan dengan sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar.
Razarudin Husain berkata, pihaknya sudah menjalankan siasatan berhubung dakwaan sindiket pemerdagangan manusia melibatkan ahli politik di negara ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pasangan suami isteri terbabit diambil keterangan pada Julai lalu, selepas artikel pertama berhubung kes berkenaan dilaporkan di Myanmar.
"Kita sudah menjalankan siasatan dan akan mendapatkan artikel yang dikeluarkan oleh negara berkenaan.
"Polis juga akan mencari saksi yang terbabit dan pasangan suami isteri itu juga sudah diambil keterangan pada Julai lalu," katanya.
Terdahulu, MHO meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat seorang ahli politik di negara ini yang didakwa terbabit sindiket pemerdagangan manusia.
Modus operandi sindiket itu didakwa cuba memperdaya mangsa secara dalam talian dengan menawarkan pekerjaan yang menarik sebelum memaksa mangsa bekerja sebagai 'scammer' penipuan judi secara dalam talian. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram