Populasi Subang Jaya kian meningkat? Kemudahan asas, keselamatan antara perlu dipertingkat selain tambah rumah


  • Massa
  • Rabu, 28 Ogos 2024

Populasi penduduk di Subang Jaya dijangka mencecah seramai 1.56 juta menjelang 2035. — Gambar hiasan

PENINGKATAN populasi penduduk di sesebuah kawasan memberi impak kepada penambahan jumlah penempatan atau kediaman.

Pada Jun lalu, seperti dilaporkan The Star, Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) memaklumkan bahawa jumlah penduduk di daerah tersebut adalah sebanyak 1.2 juta iaitu lebih tinggi berbanding Shah Alam dan Petaling Jaya, Selangor setakat 2023.

Jika mahu dibandingkan, Shah Alam mempunyai populasi 812,327 manakala Petaling Jaya pula 771,687 penduduk pada tahun sama.

BACA LAGI: 'Mendaki demi negara, sertai sambutan, ajar lagu patriotik', keluarga Mindef kongsi kisah jiwai hari kemerdekaan

BACA LAGI: Tak sangka musim buah jadi cabaran, guru SK Tekir tabahkan diri pujuk murid ke sekolah

6226530130893849033

MBSJ menyasarkan pertambahan unit rumah baharu menjelang 2035. — Gambar hiasan

Disebabkan itu, pihak MBSJ merancang untuk menambah sebanyak 170,000 unit rumah baharu menjelang 2035 sebagai persediaan kepada peningkatan populasi penduduk.

Penambahan unit rumah itu juga berkemungkinan dapat mewujudkan persekitaran kediaman yang lebih mampan dan harmoni dalam komuniti masyarakat di Subang Jaya.

Memandangkan bandar Subang Jaya merupakan antara kawasan seimbang dengan pembangunan komersial, perindustrian dan pendidikan, terdapat beberapa elemen yang perlu dilihat sebelum memperbanyakkan unit rumah di sekitar itu.

Pihak MBSJ juga perlu menitikberatkan rangkaian kemudahan daripada aspek infrastruktur seperti pengangkutan awam di lokasi strategik untuk keselesaan penduduk.

Secara khususnya, terdapat tujuh kawasan di bawah pentadbiran MBSJ merangkumi Subang Jaya, Batu 3, Putra Height, Puchong, Kinrara, Serdang dan Seri Kembangan.

Meskipun perkhidmatan kereta api disediakan di setiap kawasan terbabit, namun penambahan stesen boleh dilakukan bagi mengelakkan daripada timbulnya isu kesesakan terutamanya di stesen Subang Jaya.

Sebagai contoh, berdasarkan Perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) Sdn Bhd, tren tersebut yang terdiri daripada empat gerabak boleh memuatkan kapasiti sebanyak 1,200 atau 300 penumpang bagi setiap gerabak setiap hari.

Sekiranya penduduk semakin bertambah, jumlah stesen atau gerabak mungkin boleh dinaiktaraf bagi memuatkan penumpang yang mungkin akan mencecah sehingga 1,500 atau lebih dalam sehari.

6226530130893849036

Pengangkutan awam antara kemudahan yang perlu diteliti sebelum melaksanakan pembinaan rumah baharu. — Gambar hiasan/klia2.info

Bukan itu sahaja, kawasan sekolah atau pusat komersial juga dijangka akan lebih padat jika populasi di Subang Jaya terus-terusan meningkat setiap tahun.

Menerusi senarai daripada Direktori Pendidikan Malaysia (APAC), lebih 60 buah sekolah kebangsaan dan menengah dibangunkan di kawasan sekitar Subang Jaya setakat ini.

Manakala, aspek perniagaan pula, terdapat lebih 10 kompleks beli-belah terbesar di kawasan tersebut yang membolehkan penduduk mendapatkan barangan keperluan harian dengan mudah.

Tidak termasuk lagi dengan kawasan-kawasan penjaja kecil yang mungkin akan berkembang lebih pesat jika pembinaan rumah baharu dilaksanakan.

Daripada aspek kesihatan pula, Subang Jaya setakat ini mempunyai dua buah hospital swasta terkenal iaitu Sunway Medical Centre dan Sime Darby Medical Center Subang Jaya.

Namun, bagi kawasan dalam Subang Jaya, pihak MBSJ boleh mempertimbangkan pembinaan hospital kerajaan supaya dapat menampung rawatan kepada penduduk secara seimbang.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga merekodkan purata kehadiran pesakit di klinik atau hospital sekurang-kurangnya lebih 400 sehari yang sekali gus akan meningkatkan jumlahnya menjelang 2035.

6226530130893849035

Penambahan rumah tersebut adalah sebagai persediaan kepada peningkatan populasi penduduk. — Gambar hiasan

Elemen lain yang perlu dititikberatkan apabila populasi bertambah adalah daripada aspek keselamatan di kawasan kediaman.

Ia sekali gus tidak akan menafikan kemasukan penduduk warga asing lebih ramai dan secara tidak langsung berisiko untuk berlakunya kejadian-kejadian tidak dingini.

Sebagai contoh, satu insiden berbalas tembakan antara polis dan penjenayah di tempat awam iaitu di Jalan PJS 9/1 Subang Jaya berlaku pada Selasa lalu.

Lebih menguatkan bahawa penambahan pembinaan rumah di Subang Jaya akan berlaku apabila Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah menyatakan sokongannya terhadap rancangan tersebut.

Tengku Amir berkata, dengan penambahbaikan kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan, setiap transaksi dan proses akan dipercepatkan bagi memastikan kepuasan seluruh rakyat.

Baginda turut menyeru semua pegawai mahupun kakitangan kerajaan yang berkhidmat di Selangor sentiasa peka dan prihatin terhadap isu dihadapi oleh rakyat di negeri itu.

Antara isu sering dihadapi rakyat Selangor adalah berkaitan dengan kelemahan sistem infrastruktur bandar, kesesakan lalu lintas dan gangguan bekalan air yang kerap kali berlaku.

Dewan Negeri Selangor juga pernah mengeluarkan rekod jumlah aduan gangguan bekalan air di Selangor pada 2018 iaitu sebanyak 111,025.

61662039260_watertap

Gangguan bekalan air antara isu yang sering dihadapi rakyat di Selangor. — Gambar hiasan

Untuk rekod, MBSJ buat masa ini mempunyai jumlah strata perumahan tertinggi di Selangor dan menduduki tempat ketiga, di belakang Pulau Pinang serta Kuala Lumpur.

Berdasarkan Rancangan Tempatan Subang Jaya 2035 (RTSJ2035), penduduk Subang Jaya dijangka mencecah seramai 1.56 juta menjelang tahun itu.

Seperti yang pernah dimaklumkan Datuk Bandar Subang Jaya, Datuk Johary Anuar pada 2022, RTSJ2035 akan meningkatkan bilangan unit perumahan daripada 60 kepada 120 mengikut lokasi tertentu.

Jumlah awal tersebut adalah bagi memenuhi permintaan perumahan yang dijana penduduk di samping mengimbangi permintaan memajukan tanah untuk pembangunan bandar, rakan sinergi serta kesejahteraan masyarakat setempat.

RTSJ itu juga berfungsi sebagai platform bagi membantu pihak kerajaan dan MBSJ mengambil kira dasar-dasar dan garis panduan pembangunan di peringkat Persekutuan dan peringkat Negeri Selangor.

Beliau pada masa sama yakin bahawa Pesuruhjaya Bangunan (COB) MBSJ dapat menangani isu-isu berhubung perumahan strata di bandar khususnya penyelenggaraan dan konflik antara penduduk dan pihak pengurusan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram