PENDIDIKAN untuk semua. Itulah ayat yang acap kali disebut demi melihat pembangunan masyarakat Malaysia setanding negara-negara maju lain.
Sesuai dengan peredaran masa, pendidikan di Malaysia kini dilihat lebih ke hadapan dan ditekankan daripada segala aspek termasuk usaha membendung masalah keciciran pelajar.
Selain memanfaatkan penggunaan teknologi dalam sistem pembelajaran, semua pihak bertanggungjawab giat melaksanakan inisiatif untuk membantu golongan pelajar khususnya di kawasan pedalaman seperti Orang Asli.
BACA LAGI: Pelajar lebih mudah kuasai Matematik dan Sains dengan cara buka ruang kreativiti, inovasi
SK Tekir merupakan sekolah khas untuk penduduk Orang Asli di sekitar Seremban.
Di samping menyokong usaha kerajaan, seorang guru di Sekolah Murid Orang Asli (SMOA), Sekolah Kebangsaan (SK) Tekir, Seremban, Negeri Sembilan menyarankan agar Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengkaji semula sistem pembelajaran golongan murid itu.
Menurut Guru Penolong Kanan Pentadbiran SK Tekir, Zamzuri Zainal Abidin, 39, ia harus diteliti dan dikaji semula terutamanya daripada segi aras dan tahap terhadap pendidikan awal.
Katanya, jika mahu dibandingkan dengan sekolah awam atau swasta lain, murid Orang Asli memerlukan masa untuk mencapai tahap boleh menguasai asas membaca, menulis atau mengira seawal usia tujuh tahun.
"Murid Orang Asli rata-ratanya umur tujuh tahun masih belajar cara nak pegang pensil, kenal A, B, C kerana ramai yang tidak pergi ke tadika.
"Jadi, proses belajar sangat lambat lebih-lebih lagi nak ikut silibus standard ditetapkan KPM," katanya kepada Majoriti.
Menurunkan aras silibus bagi golongan itu juga antara saranan yang diberikan beliau agar dapat mengurangkan masalah keciciran khusus buat murid Orang Asli.
Cabaran guru
Berkongsi lanjut tentang pengalaman sebagai guru yang berkhidmat lebih tiga tahun dalam Pendidikan Orang Asli, Zamzuri berkata, menarik minat murid untuk hadir ke sekolah amat mencabar.
Menurutnya, kebanyakan golongan murid itu sukar untuk ke sekolah secara konsisten mengikut jadual yang disediakan.
Zamzuri Zainal Abidin
Katanya lagi, antara cabaran terbesar buat semua guru dan pihak sekolah apabila setiap kali tibanya musim buah di kawasan itu.
"Kalau hari biasa, mereka ada yang seminggu sekali atau dua hari sekali datang ke sekolah.
"Tambah pula bila musim buah lagi susah nak tengok mereka di kelas sebab mereka akan tidur di kebun dan atas bukit.
"Contoh macam musim durian dan memang masa untuk buat duit. Jadi mereka akan bantu keluarga kutip buah," katanya.
Jelasnya, situasi itu juga dihadapi oleh seluruh guru yang mengajar di kawasan Orang Asli di mana-mana negeri.
Lawatan ke rumah
Melihat keadaan itu sebagai satu perkara normal dalam budaya Orang Asli, pelbagai cara dan usaha dilakukan demi memberi Pendidikan sepenuhnya kepada golongan tersebut.
Kata Zamzuri, di SK Tekir, terdapat skuad khas yang anggotanya terdiri daripada guru sekolah itu untuk memantau kehadiran murid.
"Jika di sekolah saya, pagi-pagi cikgu yang ada motosikal akan pergi ke rumah-rumah murid.
"Kita akan tengok mana yang tidak hadir, kami akan cuba jemput mereka ke sekolah walaupun bukan semua," kongsinya.
Dia bagaimanapun berkata, inisiatif itu sememangnya tidak akan berjaya ketika musim buah seperti yang dinyatakan sebelum ini.
Kebanyakan rumah murid Orang Asli adalah di kawasan pedalaman. — Gambar hiasan/Zamzuri
Fleksibiliti
Selain lawatan, fleksibiliti juga diterapkan dalam sistem sekolah terbabit kerana tidak mahu murid berasa tertekan sekali gus menolak untuk ke sekolah.
Wakil SK Tekir itu berkata, pihaknya memberi kelonggaran daripada aspek peraturan atau denda sekiranya murid tidak mengikut garis panduan yang ditetapkan.
Baginya, mengenakan tindakan terlalu tegas juga secara tidak langsung akan membuatkan murid takut dan hilang minat dalam pembelejaran di bilik darjah.
"Sebagai contoh, kalau mereka tiada baju sekolah lengkap, tiada kasut, pakai selipar pun tidak ada masalah.
"Kami tak akan marah, asalkan datang sahaja ke sekolah dan belajar," ujarnya.
Tambahnya, pihak sekolah juga tidak boleh terlalu mengaplikasikan peraturan sepenuhnya kerana ia boleh dijadikan sebagai alasan bagi murid untuk tidak mahu hadir. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram