TANGGAL 31 Ogos 1957 merupakan tarikh keramat bagi seluruh rakyat yang lahir di Malaysia.
Menjelangnya waktu itu kira-kira lima hari lagi, pastinya pelbagai persediaan dilakukan bagi menyemarakkan semangat patriotik dalam diri mereka.
Sambutan bulan kemerdekaan pula antara perkara wajib dilaksanakan setiap tahun dan disambut meriah oleh semua lapisan masyarakat di negara ini.
BACA LAGI: Tak sangka musim buah jadi cabaran, guru SK Tekir tabahkan diri pujuk murid ke sekolah
BACA LAGI: Pelajar lebih mudah kuasai Matematik dan Sains dengan cara buka ruang kreativiti, inovasi
Jalur Gemilang dikibarkan lebih 500 warga Mindef sempena sambutan bulan kemerdekaan ini.
Malah, pihak Kementerian Pertahanan Malaysia (Mindef) juga tidak melepaskan peluang itu dengan menganjurkan Majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang Sempena Sambutan Bulan Kebangsaan 2024 pada 19 Ogos lalu.
Majlis tersebut dimeriahkan dengan persembahan pancaragam daripada Markas Tentera Udara dan perarakan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersama aset-aset ketenteraan di Wisma Pertahanan Mindef.
Ia dirancakkan lagi dengan ikrar Rukun Negara yang dilafazkan oleh seramai 550 warga Mindef termasuk pegawai dan anggota ATM sebagai tanda kesetiaan kepada tanah air.
Tradisi bulan kemerdekaan
Mengambil kesempatan itu, beberapa Pembantu Tadbir Audit Dalam Mindef berkongsi pandangan dan kisah mereka berkaitan tradisi sambutan bulan kemerdekaan.
Bagi Ira Sharida Ramli, 36, yang pertama kali menyertai sambutan sedemikian di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 2023, perkara itu secara tidak langsung memberi semangat untuk menyambutnya buat kesekian kali pada 2024.
Ira Sharida Ramli
Sepanjang empat tahun berkhidmat dalam Mindef, Ira yang berasal dari Johor itu tidak pernah melepaskan peluang untuk menyertai program kemerdekaan dianjurkan oleh jabatan itu.
"Antara aktiviti yang saya sekarang giat sertai adalah pertandingan menulis puisi, fotografi dan program mendaki di Air Terjun Lepoh, Hulu Langat, Selangor nanti.
"Walaupun saya bukan seorang yang suka mendaki, saya tetap sertai program tersebut demi membuktikan semangat cinta kepada negara," katanya kepada Majoriti.
Ira juga berkata, setiap aktiviti itu dilakukan bersama suami tercinta memandangkan dia masih belum dikurniakan anak untuk menyambut kemeriahan sambutan kemerdekaan.
Aiman Amirah Zulkifli
Manakala, rakan sekerjanya, Aiman Amirah Zulkifli, 29, pula sering mengamalkan konsep beraktiviti bersama keluarga dan rakan-rakan setiap kali tibanya bulan patriotik itu.
Sebagai golongan muda dan belum berkahwin, Aiman mengimbau kembali momen-momen manis sebelum menetap di Kuala Lumpur ketika sambutan hari istimewa itu di kampung halaman iaitu di Pulau Pinang.
"Jika sebelum ini saya di kampung memang selalu pergi tengok program perarakan kemerdekaan kadang-kadang dengan keluarga dan rakan beramai-ramai.
"Semenjak di Mindef pula, saya kerap juga sertai program yang disediakan supaya dapat mengekalkan semangat patriotik itu," katanya.
Galakan kepada anak kecil
Sama dengan Fatimah Jusoh, 36, amalan melibatkan diri dalam program sedemikian amat diterapkan dalam keluarga terutama pada anak-anak yang masih kecil.
Ibu kepada empat orang anak itu berkata, dia dan suami tidak akan terlepas untuk membawa keluarga kecilnya menyaksikan sambutan kemerdekaan setiap tahun.
Fatimah Jusoh
Kata Fatimah yang berkhidmat selama 16 tahun dalam Unit Audit di Mindef, semangat patriotik sememangnya perlu didedahkan dan dipupuk dalam diri anak-anak sejak kecil di rumah.
"Untuk anak pertama hingga ketiga, mereka dapat pendedahan lebih di sekolah sebab banyak aktiviti dilakukan oleh para guru.
"Tetapu bagi anak yang terakhir berumur dua tahun, saya memang akan bagi dia bermain dan teroka bendera kecil dan pasang lagu-lagu merdeka untuk dia nyanyi atau berhibur," jelasnya.
Anak kelahiran Terengganu itu berkata, lagu kegemaran anaknya di rumah adalah 31 Ogos nyanyian Allayarham Datuk Sudirman Arshad.
Di samping itu, ketiga-tiga mereka juga tidak terkecuali untuk memasang dan mengibarkan Jalur Gemilang di kenderaan dan rumah masing-masing.
Mereka pada masa sama mengharapkan agar amalan itu tidak hilang dan diteruskan oleh generasi akan datang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram