'Mereka sentiasa ada rasa ingin mencuba', jurulatih muda tabik semangat anak syurga belajar main golf


  • Massa
  • Jumaat, 23 Ogos 2024

Muhammad Aliff (kanan) seorang daripada jurulatih di KGNS mendapat peluang mengajar pelajar-pelajar NASOM.

MELIBATKAN diri dengan sukan golf seawal usia belasan tahun, seorang jurulatih di Kelab Golf Negara Subang (KGNS) tidak menyangka dapat menimba pengalaman baharu dan istimewa dalam hidupnya.

Baru setahun berkhidmat di KGNS, Muhammad Aliff Firdaus Saleeudin antara yang terpilih untuk mengajar anak-anak autistik dalam program Klinik Golf Fore Autism bersama Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM).

Terserlah kegembiraan dan keterujaan di wajah, Muhammad Aliff yang berusia 24 tahun itu bagaimanapun tidak kekok berkomunikasi dengan para pelajar.

BACA LAGI: Sampai marah bola tak masuk lubang, guru NASOM guna 'trick' pancing anak autistik main golf

BACA LAGI: [VIDEO] Pelajar sanggup hari-hari berlari 5km ke sekolah demi jadi tentera

455340023_1026064409523023_9055456810383035459_n

Sesi pembelajaran untuk cara memukul bola bersama pelajar-pelajar NASOM. — KGNS

Memahami keadaan pelajar-pelajar terlibat, Muhammad Aliff berkata, ia sememangnya satu pengalaman berharga dan pada masa sama banyak membantu dirinya sebagai jurulatih muda.

Menurutnya, melatih pelajar NASOM juga meningkatkan kemahiran mengajar sukan golf menggunakan cara berbeza tidak seperti bersama individu normal.

"Sepanjang saya terlibat dalam program ini sebanyak tiga kali, memang sangat seronok. Mengajar mereka ni juga perlukan kesabaran tinggi dan kerap ulang step sama supaya boleh ingat.

"Sebab itu, kalau ajar orang normal tapi mereka tak boleh buat maksudnya mereka tak mahu buat dan itu masalah mereka. Berbeza dengan anak istimewa ini, mereka sentiasa ada rasa ingin mencuba dan memperbaiki diri bila main golf," katanya kepada Majoriti.

Muhammad Aliff berkata, sepanjang sesi pembelajaran itu, kesemua pelajar mempunyai daya fokus dan maklum balas berbeza.

6213033054432247115

Para pelajar yang kelihatan sangat teruja selepas selesai bermain golf.

Menurutnya, dia terpaksa mengambil hati pelajar untuk mengekalkan momentum dan tenaga ketika sesi itu.

"Teknik paling asas yang perlu diajar adalah cara pegang kayu dan pukul bola golf dengan struktur badan yang betul.

"Jadi, bila ajar kanak-kanak ini tidak dinafikan sedikit mencabar tetapi mereka sangat responsif dan apabila mereka berjaya lakukannya, itu satu kepuasan," jelasnya.

Katanya, kejayaan mengajar pelajar NASOM adalah satu pencapaian untuk membuktikan kemampuannya menjadi jurulatih golf.

Mempunyai minat dan latar belakang keluarga yang aktif dalam sukan golf, anak kelahiran Melaka itu berharap agar dapat berkhidmat lebih lama demi mengembangkan lagi potensi dirinya dalam sukan itu.

Dia sekali gus tidak mahu melepaskan peluang itu untuk bersama-sama menjadi antara individu penting sebelum program tersebut tamat pada September depan.

Saranan untuk ibu bapa

Selain itu, Ketua Program NASOM cawangan ibu pejabat di Petaling Jaya, Selangor, Mohd Safreen Azudie Othman, 34, melihat usaha tersebut sebagai satu langkah terbaik untuk pelajar-pelajar berkenaan.

455248322_1026064276189703_232004033632398244_n

Ibu bapa disarankan untuk memberi pendedahan kepada anak-anak autistik mereka. — KGNS

Mempunyai anak saudara berusia tujuh tahun yang didiagnos sebagai autistik, Mohd Safreen mengambil peluang untuk menggalakkan lebih ramai ibu bapa melibatkan anak-anak istimewa mereka dalam bidang sukan.

"Lihat situasi itu, saya ambil langkah beri galakkan kepada ibunya yang merupakan sepupu saya untuk sentiasa bagi peluang kepada anak lelakinya.

"Saya selalu kata, jangan kita simpan dia, bagi sahaja apa yang dia mahu cuba lakukan. Sebab kadang-kadang kita rasa mereka tak boleh buat tapi sebenarnya boleh," katanya kepada Majoriti.

Menjadi antara individu penting dalam program tersebut itu, dia juga kerap memberi saranan sama kepada para ibu bapa lain yang menghantar anak-anak mereka di NASOM.

Baginya, sukan individu seperti golf, renang atau larian sangat membantu golongan istimewa itu untuk meningkatkan kemahiran motor serta menguatkan otot-otot di anggota badan.

"Sukan ini sebenarnya secara tidak langsung akan terapkan budaya mahu bersaing antara satu sama lain dan lebih bersemangat lebih-lebih lagi ketika belajar di dalam kelas selepas beraktiviti," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram