Patah paha dan tulang rusuk, 2 polis Kluang tertimbus ketika musnah bom kini stabil


  • 112
  • Rabu, 28 Ogos 2024

Dua anggota polis tertimbus sewaktu proses pemusnahan bom di Kluang.

DUA pegawai polis yang tertimbus akibat tanah runtuh semasa proses pemusnahan bom di Kluang, Johor pada Selasa dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh dalam satu kenyataan pada Rabu berkata, dua pegawai dari Unit Pemusnah Bom dan Pensenjataan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor itu mengalami patah di bahagian paha dan tulang rusuk.

Hasil pemeriksaan dilakukan ke atas dua pegawai berkenaan mendapati Koperal Muhammad Faruuqi Shamsary, 34, mengalami patah di tulang paha kiri dan satu tulang rusuk sebelah kiri.

BACA LAGI: Dua polis unit pemusnah bom parah, tertimbus tanah runtuh di Kluang

BACA LAGI: Selepas Masjid India, Kampung Kerinchi pula berlubang gergasi

Sementara, Koperal Abdul Halim Zainal, 39, mengalami patah tulang pinggul dengan tiga tulang rusuk sebelah kiri badannya mengalami nasib sama.

Kedua-dua pegawai tersebut tertimbus semasa melakukan persiapan untuk proses pemusnahan bom selepas menerima laporan daripada orang ramai mengenai penemuan sebuah bom lama di Jalan Tabah, Taman Sri Lambak, Kluang pada 8.50 pagi.

"Hasil siasatan awal mandapati kejadian berkenaan berlaku ketika unit pemusnah bom sedang membuat persiapan pemusnahan bom di lokasi.

"Akibat runtuhan tanah dinding lubang lokasi pemusnahan bom menyebabkan dua anggota unit berkenaan dari IPK Johor tertimbus dan mengalami kecederaan.

"Kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom untuk rawatan dan kini dalam keadaan stabil," kata Bahrin. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram