Dokumen tak lengkap, sebutan semula kes dera kanak-kanak autisme 30 September depan


  • Prosiding
  • Selasa, 27 Ogos 2024

Terdahulu, Guru M. Thinesh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas pertuduhan menggunakan kekerasan terhadap seorang kanak-kanak lelaki autisme.

SEORANG guru didakwa atas pertuduhan melakukan kekerasan jenayah terhadap seorang kanak-kanak autisme di sebuah sekolah kanak-kanak berkeperluan khas, di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, Selangor.

Peguam, Nor Rabiatul Bahari yang mewakili mangsa, pada Selasa memohon untuk sebutan semula kes pada 30 September depan bagi menghantar semula dokumen siasatan polis yang tidak lengkap.

Rabiatul Bahari berkata, dokumen tersebut adalah melibatkan hasil siasatan pihak polis dan juga keputusan forensik yang masih dalam proses untuk dilengkapkan.

BACA LAGI: Kerajaan boleh bawa Singapura ke mahkamah timbang tara selesai perjanjian isu air

BACA LAGI: Malaysia dijangka sukar yakinkan Singapura semak semula perjanjian air — Pakar undang-undang

Menurutnya, setakat ini tertuduh masih dituduh di bawah Seksyen 352 Kanun Keseksaan kerana melakukan kekerasan jenayah terhadap kanak-kanak berkenaan.

Sementara itu, bapa kepada kanak-kanak autisme itu yang mahu dikenali sebagai Kenn berkata, pihaknya masih menunggu proses perbicaraan dan menegaskan mahu keadilan buat anaknya.

"Kami sangat kecewa dan mahu pihak sekolah bertanggungjawab atas perkara ini.

"Kami juga telah menghantar surat keputusan kepada pihak mereka.

"Namun, kami tidak mendapat kerjasama yang baik daripada pihak sekolah terbabit," katanya ketika ditemui Majoriti.

Terdahulu, Thinesh Manickam, 33, didakwa melakukan kekerasan dengan menendang kanak-kanak itu, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kertas pertuduhannya dibacakan di hadapan Majistret Shahril Anuar Ahmad Mustapa.

Majoriti pada 18 Julai lalu melaporkan mengenai kes seorang guru lelaki ditahan selepas memukul dan menendang seorang kanak-kanak autisme berusia enam tahun di sebuah sekolah kanak-kanak berkeperluan khas di Kelana Jaya, Petaling Jaya.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner, Shahrulnizam Ja'afar berkata, pihaknya menerima laporan daripada bapa mangsa berusia 36 tahun kira-kira pukul 12.39 tengah hari.

Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek telah menendang, memukul dan menarik kanak-kanak berkenaan secara kasar sehingga menyebabkan mangsa terjatuh daripada kerusi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram