Mahkamah Switzerland sabit hukuman ke atas eksekutif 'songlap' RM7.8 bilion dana 1MDB


  • Berita
  • Rabu, 28 Ogos 2024

Skandal kewangan 1MDB bernilai berbilion dolar membawa kepada siasatan jenayah di seluruh dunia, termasuk di Amerika Syarikat, Switzerland dan Singapura. — Gambar hiasan

MAHKAMAH Jenayah Persekutuan Switzerland pada Rabu menyabitkan hukuman ke atas dua eksekutif di sebuah syarikat cari gali minyak yang dituduh menggelapkan dana lebih AS$1.8 bilion (RM7.8 bilion) membabitkan syarikat pelaburan negara Malaysia, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Keputusan itu adalah episod terbaharu dalam skandal 1MDB, yang dikenali sebagai satu kes rasuah antarabangsa cukup kompleks melibatkan banyak institusi kewangan dan individu di seluruh dunia sejak dakwaan salah laku pertama kali timbul pada 2015.

Pendakwa raya mendakwa warga Switzerland-British, Patrick Mahony dan Switzerland-Saudi, Tarek Obaid, membantu menubuhkan usaha sama dengan 1MDB dengan mewujudkan tanggapan bahawa syarikat mereka, PetroSaudi, disokong oleh kerajaan Saudi.

BACA LAGI: Bekas jurutera petroleum tolak tepi soal untung, buka gim demi bantu orang lain

BACA LAGI: Siap belajar bertanam 2 minggu, petani B40 di Putrajaya bakal tuai hasil cili cecah RM1.2 juta

Menurut pendakwa raya, tertuduh didapati mempengaruhi lembaga pengarah 1MDB untuk urusan berkenaan pada 2009 sebelum meneruskan penipuan dalam pengurusan dana terbabit.

Berdasarkan dakwaan, kedua-dua eksekutif itu melakukan penipuan bernilai AS$1.8 bilion (RM7.8 bilion) untuk kepentingan diri, dengan Obaid mendapat sekurang-kurangnya AS$805 juta (RM3.5 bilion) dan Mahony menerima sekurang-kurangnya AS$37 juta (RM160.7 juta).

Exclusive interview with Jho Lo @  Low Taek Jho on 28 July 2010.

Usahawan dalam buruan, Jho Low.

Obaid dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun oleh mahkamah, manakala Mahony menerima hukuman enam tahun.

Pendakwa raya berkata, kedua-dua lelaki itu mencipta skim penipuan dengan usahawan dalam buruan dari Malaysia Jho Low yang merupakan penasihat kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang sudah dipenjarakan atas peranannya dalam skandal tersebut.

Tertuduh didakwa pada mulanya mengambil AS$1 bilion daripada 1MDB supaya ia boleh membeli kepentingan dalam usaha perniagaan, sebelum mendapat sebanyak AS$830 juta (RM3.5 bilion) lagi daripada dana itu antara 2010 dan 2011 sebagai sebahagian daripada pinjaman hasil daripada hubungan mereka.

Penyiasat Malaysia dan AS menganggarkan sejumlah AS$4.5 bilion (RM19.5 bilion) telah digelapkan daripada 1MDB berikutan penubuhannya pada 2009, membabitkan individu termasuk Najib, kakitangan Goldman Sachs dan pegawai tinggi di tempat lain. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram