Karya Pablo Picasso antara aset berkaitan dana 1MDB bernilai RM397 juta berjaya diperoleh semula Jabatan Kehakiman AS


  • Primer
  • Rabu, 24 Jul 2024

Aset berjaya diperolehi semula yang dipercayai mempunyai kaitan dengan dana 1MDB adalah termasuk karya seni milik Pablo Picasso.

JABATAN Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) mencapai persetujuan bersama bekas peguam bela 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Jasmine Loo Ai Swan bagi mendapatkan semula lukisan karya artis terkenal, Pablo Picasso dan termasuk satu akaun bank Switzerland berkaitan dana 1MDB didakwa diseleweng.

Dalam satu kenyataan pada Selasa, DoJ berkata, perjanjian itu menyelesaikan kes sivil melibatkan aset terbabit yang bernilai sekitar AS$1.8 juta (RM8.42 juta).

Pada masa sama, jabatan terbabit memaklumkan sudah memperoleh perintah perlucutan hak bagi aset lain didakwa diperoleh dengan dana 1MDB oleh ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho yang juga dikenali sebagai Jho Low.

BACA LAGI: Kerajaan boleh bawa Singapura ke mahkamah timbang tara selesai perjanjian isu air

BACA LAGI: Malaysia dijangka sukar yakinkan Singapura semak semula perjanjian air — Pakar undang-undang

Aset itu termasuk barang kemas berlian dan karya seni oleh Vincent Van Gogh, Claude Monet, Pablo Picasso, Jean-Michel Basquiat dan Diane Arbus.

Bersama dengan aset diperolehi daripada Loo Ai, nilai kolektif aset berjaya didapatkan semula dianggarkan hampir AS$85 juta (RM397 juta).

DoJ berkata, pihaknya sebelum ini telah memulakan banyak kes perlucutan hak sivil terhadap aset didakwa diperoleh Low dan rakan subahatnya menggunakan dana 1MDB yang digelapkan.

“Dari 2009 hingga 2015, lebih $4.5 bilion (RM21 bilion) dalam dana 1MDB didakwa diselewengkan oleh pegawai peringkat tinggi dan sekutu mereka, termasuk Low dan Ai Swan, melalui konspirasi jenayah melibatkan pengubahan wang haram dan rasuah antarabangsa,” jelas kenyataan itu.

6127196092912221012

Low (kiri) dan Ai Swan kedua-duanya didakwa bersubahat dalam menggelapkan dana milik 1MDB.

Dalam pada itu, DoJ berkata juga berkata, perlucutan hak terhadap karya seni dan barang kemas lain didakwa dibeli Low adalah berdasarkan persetujuan penyelesaian baru-baru ini berkaitan hartanah dan perlucutan karya seni dalam dua kes berasingan.

"Ini menyelesaikan tiga kes perlucutan sivil tambahan difailkan di Mahkamah Daerah AS untuk Daerah Tengah California."

Sebelum penyelesaian ini, Amerika Syarikat telah memulangkan atau membantu dalam pemulangan lebih AS$1.4 bilion (RM6.54 bilion) aset berkaitan dengan pengubahan wang haram antarabangsa, penyelewengan dan skim rasuah kepada Malaysia.

Low menghadapi pertuduhan jenayah berasingan di Daerah Timur New York kerana didakwa bersubahat menggelapkan berbilion dolar daripada 1MDB dan melanggar Akta Amalan Rasuah Asing dengan merasuah pegawai kerajaan Malaysia dan UAE.

Selain itu, Low turut menghadapi pertuduhan di Daerah Columbia kerana didakwa bersubahat untuk menyalurkan dan menyembunyikan sumbangan kempen asing dan semasa pilihan raya presiden Amerika Syarikat 2012.

DoJ bagaimanapun berkata, persetujuan bersama Ai Swan tidak membebaskan mana-mana individu atau entiti daripada tuduhan jenayah semasa atau yang bakal didakwa.

Ujarnya, Skuad Rasuah Antarabangsa Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) di New York City dan Los Angeles serta Pejabat Lapangan Siasatan Jenayah Perkhidmatan Hasil Dalam Negeri (IRS) Los Angeles masih menyiasat kes tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram