Lebih 600 pengarah syarikat dilarang keluar dari Malaysia kerana gagal bayar KWSP pekerja


  • Bizz
  • Rabu, 28 Ogos 2024

Setakat Jun 2024, sejumlah 13,820 majikan atau 2.02 peratus daripada keseluruhan 685,399 majikan yang berdaftar dengan KWSP gagal membayar caruman pekerja mereka. — Gambar hiasan

KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sudah senarai 635 nama pengarah syarikat kepada Jabatan Imigresen antara Januari dan Jun lepas bagi menghalang mereka meninggalkan Malaysia selagi belum melunaskan tunggakan caruman KWSP.

Ketua Pegawai Operasi KWSP, Sazaliza Zainuddin mengingatkan majikan agar membayar caruman pekerja mereka dengan segera seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 43(1) Akta KWSP 1991.

BACA LAGI: Bekas jurutera petroleum tolak tepi soal untung, buka gim demi bantu orang lain

BACA LAGI: Siap belajar bertanam 2 minggu, petani B40 di Putrajaya bakal tuai hasil cili cecah RM1.2 juta

"Kegagalan membayar caruman KWSP pada masanya merupakan satu kesalahan serius dan KWSP tidak akan teragak-agak untuk menggunakan penyelesaian undang-undang terhadap majikan yang ingkar termasuk tindakan sivil dan jenayah, untuk melindungi hak pekerja," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Caruman bulanan menunjukkan komitmen majikan terhadap kesejahteraan pekerja dan bagi memenuhi kewajipan undang-undang, dan KWSP akan terus menguatkuasakan dan memantau majikan untuk memastikan semua jumlah tertunggak dibayar sepenuhnya.

"Setakat Jun 2024, sejumlah 13,820 majikan atau 2.02 peratus daripada keseluruhan 685,399 majikan yang berdaftar dengan KWSP telah gagal membayar caruman pekerja mereka.

"Bagi tempoh sama, sebanyak 12,787 pengarah syarikat telah dihalang keluar negara akibat tunggakan caruman, seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 39 Akta KWSP 1991," ujar kenyataan itu lagi.

6228624404192019373

KWSP menasihati ahli agar menyemak akaun secara berkala melalui aplikasi i-Akaun untuk memastikan caruman daripada majikan dibayar dengan tepat jumlahnya dan pada masanya. — Gambar hiasan

KWSP memaklumkan dalam tempoh antara Januari dan Jun lepas, sebanyak 1,932 saman sivil difailkan terhadap pengarah syarikat manakala 2,200 kes jenayah difailkan terhadap majikan yang ingkar caruman KWSP bulanan pekerja mereka.

Sehubungan itu, KWSP menasihati ahli agar menyemak akaun KWSP secara berkala melalui aplikasi i-Akaun untuk memastikan caruman daripada majikan dibayar dengan tepat jumlahnya dan pada masanya.

Jika terdapat percanggahan, ahli hendaklah menghubungi majikan dengan segera atau melaporkan kepada KWSP melalui laman web www.kwsp.gov.my, atau menghubungi Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP menerusi talian 03-8922 6000.

KWSP juga amat menggalakkan majikan untuk menggunakan platform KWSP i-Akaun yang membolehkan mereka menyemak dengan selamat senarai pekerja bagi caruman yang telah dibayar serta sejarah pembayaran mereka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram