MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sekitar 2022 pernah mencadangkan kerajaan agar membenarkan pengeksportan daun ketum bagi memenuhi permintaan tinggi syarikat farmaseutikal di luar negara.
Jelasnya, langkah itu bukan sahaja membantu penanam ketum di negara ini, malah kerajaan juga akan memperoleh hasil cukai melalui eksport.
Pasaran utamanya adalah pembeli dari negara jiran, Thailand dengan permintaan di sana dikatakan sangat menggalakkan bagi tujuan perubatan.
BACA LAGI: Segera wartakan ketum sebagai dadah berbahaya - MASAC
BACA LAGI: Polis gagalkan taktik penganggur sorok 700kg daun ketum di Tanah Merah
Menurut laporan The Star, Muhammad bersedia melantik anak syarikatnya untuk membeli dan mengutip daun ketum selain bertindak sebagai pengeksport tunggal yang sah di Kedah.
"Kami membelanjakan banyak sumber untuk menguatkuasakan larangan eksport ketum kerana ia disenaraikan di bawah Akta Racun 1952 dan terdapat sekatan eksport.
"Apa yang menghairankan, tanam pokok itu dibenarkan kerana ia tidak menyalahi undang-undang, tetapi memetik daun dan memprosesnya adalah salah.
"Sudah tentu, kita tidak boleh meminumnya begitu sahaja, itu tidak baik. Ia perlu melalui kaedah saintifik tertentu untuk menjadi ubat. Kami mempunyai banyak ketum yang tumbuh di tanah kami tetapi ia dianggap haram. Lebih baik kita halalkan untuk eksport," katanya.
Muhammad Sanusi mencadangkan agar kerajaan membenarkan daun ketum dieksport bagi menjana pendapatan negara.
Terbaharu, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) pada Isnin mendedahkan pengambilan ketum secara berlebihan menjadi punca utama pelajar malas ke sekolah.
Perkara itu didedahkan AADK, hasil dapatan kajian dilakukan bersama Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Malaya (UM).
Laporan Harian Metro menjelaskan, pihak berkenaan menekankan penyalahgunaan ketum atau bahan psikoaktif mitragynine memberi kesan stimulan dan khayal yang boleh menyebabkan ketagihan.
"Pengambilan air ketum menjadikan seseorang pelajar tidak produktif. Apabila pelajar meminum air ketum, tingkah laku pelajar juga berubah dan bertindak lebih agresif.
"Ia berlaku apabila remaja ini gagal mendapatkan sesuatu barang yang mengkhayalkan. Mereka seterusnya mengajak rakan terbabit sama meminum air ketum," katanya.
Daun ketum atau nama saintifiknya, 'mitragyna speciosa' mengandungi bahan aktif mitragynine iaitu sejenis alkaloid psikoaktif yang dikawal di bawah Akta Racun 1952 di bawah peraturan kawalan psikotropik.
Pengambilan ketum berlebihan boleh mengakibatkan kesan sama seperti kokain dan candu pada tubuh manusia sekali gus mengakibatkan individu merasa sengal sendi, mudah marah, mata berair dan lemah untuk bekerja. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram