Ajal motor terkena tayar lori tercabut, hasrat pergi kerja ke Putrajaya tak kesampaian


  • 112
  • Rabu, 28 Ogos 2024

Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

SEORANG lelaki berusia 47 tahun yang sedang dalam perjalanan ke tempat kerja di Putrajaya maut apabila motosikal ditunggangnya berlanggar dengan sebuah tayar lori yang bergolek di atas Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) di Seremban, Negeri Sembilan pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, kemalangan itu berlaku kira-kira pada pukul 7.30 pagi di Kilometer 266.9 PLUS.

BACA LAGI: Bekas jurutera petroleum tolak tepi soal untung, buka gim demi bantu orang lain

BACA LAGI: Siap belajar bertanam 2 minggu, petani B40 di Putrajaya bakal tuai hasil cili cecah RM1.2 juta

“Berdasarkan siasatan awal, tayar berkenaan tercabut daripada sebuah lori yang menghala ke selatan kemudian bergolek ke arah laluan bertentangan sebelum melanggar mangsa yang sedang menaiki motosikal.

“Ini menyebabkan mangsa hilang kawalan motosikalnya dan merempuh besi pengadang jalan,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohamad Hatta berkata, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Dalam pada itu, beliau berkata, polis berjaya mengesan pemandu lori terbabit yang merupakan seorang lelaki berusia 29 tahun.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan," katanya.

Mohamad Hatta menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Fadzilah Ahmad di talian 016-2895801 atau hubungi Ibu Pejabat Daerah (IPD) Seremban di talian 06-6033222 bagi membantu siasatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram