'Waktu itu kita rasa kita pandai', usahawan Pasir Gudang tak pernah lupa payah jerih bina Kotak Sakti


  • Berita
  • Selasa, 27 Ogos 2024

Erhan (gambar kiri) merupakan pengasas bersama Kotak Sakti yang mula beroperasi pada 2019.

MEMULAKAN perniagaan dalam bidang teknologi boleh menjadi satu usaha yang cukup menjanjikan dan memberikan hasil yang cukup lumayan.

Lihat sahaja kepada senarai syarikat yang berada dalam kelompok paling bernilai tinggi di dunia ketika ini.

Boleh dikatakan, hampir kesemuanya terdiri daripada syarikat berasaskan teknologi seperti Microsoft, Apple, Nvidia dan Google yang menduduki empat teratas.

BACA LAGI: 'Apa jadi kalau ALLAH tarik nikmat suara?', teguran suami buat Mila Jirin bina empayar bisnes cecah puluhan juta

BACA LAGI: Bermula dari dapur rumah, usahawan kelahiran Johor tempuh laluan berliku dalam sektor teknologi

Bagaimanapun, perlu juga diakui, usaha membina syarikat teknologi hadir dengan cabaran yang bukan sedikit.

Apatah lagi sekiranya perkhidmatan yang mahu disediakan itu adalah melibatkan teknologi baharu dan terkini yang potensinya masih belum diterokai secara meluas.

Dalam situasi tersebut, usahawan perlu berdepan dengan pelbagai cabaran antaranya dalam aspek penyediaan modal, kemahiran pekerja, persaingan dan juga mendapatkan kepercayaan pelanggan.

Ketua pegawai eksekutif yang juga pengasas bersama syarikat pemula Kotak Sakti, Erhan Azrai berkata, untuk membina sebuah syarikat teknologi, keberanian yang tinggi sangat diperlukan termasuk untuk berdepan dengan kegagalan.

"Bila kita dah mulakan, kita sentiasa akan ingat dalam kepala bahawa kita boleh gagal bila-bila masa," katanya.

Kotak Sakti merupakan syarikat pemula teknologi data yang menyediakan perkhidmatan pengurusan dan analisis data kepada perniagaan dan juga syarikat.

Tinggal kerjaya selesa di sektor korporat asaskan syarikat teknologi data

Sebelum mengasaskan Kotak Sakti pada 2019, Erhan yang merupakan graduan bidang kejuruteraan elektrikal dan komputer dari Cornell University, New York, Amerika Syarikat (AS) mempunyai karier selama kira-kira 16 tahun dalam bidang korporat.

Antara syarikat yang pernah menjadi tempatnya berkhidmat ialah Tenaga Nasional Berhad (TNB), Khazanah Nasional Berhad dan Iskandar Associates.

Jawatan terakhir yang disandangnya sebelum berhenti daripada sektor korporat ialah sebagai Naib Presiden Kanan di Mara Corporation.

6226626600154283917

Erhan (duduk, dua dari kiri) ketika menghadiri acara di PJ Startup Festival yang diadakan di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini. — Instagram/Syahredzan Johan

Berkongsi kepada Majoriti, Erhan mengakui pilihannya untuk meninggalkan kerjaya dengan gaji cukup stabil bagi membuka syarikat pemula bukan satu keputusan yang mudah.

"Risau itu memang risau. Sebab bila saya berhenti itu, umur saya pun dah 39 tahun. Jadi, banyaklah komitmen macam pinjaman rumah, kemudian anak," katanya yang berasal dari Pasir Gudang, Johor.

Bagaimanapun, Erhan pada masa sama berkata, dia sememangnya sudah membuat persediaan dan menjangka mengenai rintangan bakal ditempuh dengan jalan yang dipilih.

Bercerita lebih lanjut, dia berkata, dua tahun awal operasi syarikatnya berdepan cabaran agak getir termasuk mengharungi tempoh pandemik Covid-19.

Ujarnya, pada waktu itu, kebanyakan pendapatan diperolehi juga datang daripada kerja sambilan yang turut melibatkan kira-kira empat hingga lima orang rakannya yang bersetuju secara sukarela bekerjasama membina Kotak Sakti.

"Kita mula pada masa yang agak tidak baik sebab masa kita mula September 2019, tak berapa lama lepas itu dah Covid-19.

"Jadi sebenarnya walaupun dia kita wujud lima tahun, tapi dua tahun pertama itu kita lebih banyak duduk rumah. Dalam keadaan macam itu, nak cari kerja pun susah.

"Untuk dua tahun pertama itu sebenarnya kita lebih banyak buat kerja dalam aspek pemasaran," kongsinya.

Dengan situasi yang berlaku, Erhan berkata, pendapatan yang berjaya diperolehi syarikatnya dalam fasa awal permulaan juga agak terhad.

Malah, menurutnya, sepanjang dua tahun pertama, dia terpaksa mengeluarkan simpanannya bagi menampung operasi.

"Waktu itu pendapatan kasar syarikat dalam RM30,000 untuk setahun, maknanya dalam sebulan dapatlah dalam RM2,500. Kemudian kena ingat kita ada lima orang yang bersama bekerja.

"Jadi memang terpaksa guna simpanan lagi-lagi untuk orang yang ada komitmen macam saya.

"Kalau dulu belanja keluarga sebulan dalam RM7,000 hingga RM8,000. Maknanya saya kena tambah RM5,000 setiap bulan dari simpanan daripada RM2,000 gaji yang saya dapat," ujarnya.

Motivasi teruskan perniagaan

Berdepan dengan kesukaran tahun-tahun awal tersebut, Erhan mengakui pengalaman itu sememangnya memberikan pengalaman cukup berharga khususnya dalam mengendalikan perniagaan.

"Waktu itu kita rasa kita pandai. Kita tak fikir sangat mengenai kesukaran untuk mulakan perniagaan walaupun sebenarnya pada kita tak tahu sangat pun mengenai bisnes," ujarnya.

Bagaimanapun, Erhan berkata, perkara itu tidak melemahkan motivasinya untuk meneruskan perniagaannya dan memberikan perkhidmatan dalam bidang tersebut.

Apa yang lebih penting menurutnya, dia percaya perkhidmatan yang ditawarkan Kotak Sakti masih relevan khususnya dalam bidang teknologi maklumat dan pengurusan data.

"Walaupun pendapatan yang diperolehi itu masih lagi tak sama macam masa kita bekerja dulu, tapi kita sebenarnya lebih teruja kita rasa kita dalam wave yang betul.

"Kita nampaklah, macam permintaan (perkhidmatan pengurusan data) makin banyak dan kefahaman orang pasal data ini makin meningkat," ujarnya.

1664338092472

Erhan ketika menyampaikan perkongsian bersama pelajar di sebuah universiti swasta di dalam negara. — Linkedlin/ErhanAzrai

Memasuki usia lima tahun, Erhan berkata, operasi syarikatnya kini sudah lebih stabil dengan kapasiti kepakaran yang meliputi bidang sektor awam dan swasta.

Menuju ke depan, Erhan berkata, sama seperti syarikat lain, beliau juga berharap agar Kotak Sakti dapat terus beroperasi dalam tahun-tahun seterusnya.

"Sebagai sebuah syarikat, kita nak dia terus wujud untuk tempoh 10 atau 15 tahun.

"Untuk capai perkara tersebut, salah satunya adalah dengan cara syarikat lebih besar ambil alih syarikat kita atau pilihan kedua kita senaraikan syarikat dalam bursa saham," ujarnya.

Pada masa sama, Erhan berkata, Kotak Sakti turut akan mengambil peluang daripada perkembangan pesat teknologi kecerdasan buatan (AI).

"Orang sekarang semua tengah cakap AI. Tapi, menggunakan AI, kita perlukan infrastruktur dan set data untuk ia beroperasi dan supaya orang boleh guna.

"Banyak pelanggan (syarikat perniagaan) kita yang memerlukan perkhidmatan seperti tu seperti tu.

"Jadi dengan kata mudah, kita perlu bina platform yang memudahkan orang atau syarikat untuk guna AI untuk keperluan mereka," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram