POLAND kini berada dalam keadaan berjaga-jaga selepas dron Rusia jenis Shahed dilaporkan melintasi ke ruang udaranya selama 33 minit pada Isnin sebelum dilaporkan "hilang".
Kehadiran kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) itu disyaki berlaku semasa pengeboman udara besar-besaran di Ukraine oleh Rusia, yang menyebabkan sekurang-kurangnya tujuh maut dan berpuluh-puluh lagi cedera.
Dron itu kali terakhir dikesan terbang di ruang udara bandar Tyszowce yang terletak di Timur Poland atau sekitar sekitar 32 kilometer dari sempadan dengan Ukraine.
BACA LAGI: Bekas jurutera petroleum tolak tepi soal untung, buka gim demi bantu orang lain
BACA LAGI: Siap belajar bertanam 2 minggu, petani B40 di Putrajaya bakal tuai hasil cili cecah RM1.2 juta
Pasukan pencari kini sedang melakukan operasi pencarian di kawasan terlibat dalam usaha mengesan sebarang sisa dron terbabit.
Pegawai tentera negara berkenaan tidak menolak kemungkinan bahawa UAV itu berpotensi terbang kembali memasuki ke wilayah Ukraine.
Tentera Poland berkata, ia bersedia untuk menembak jatuh dron terbabit namun tidak dapat membuat pengecaman positif.
Leftenan Kolonel Jacek Goryszewski yang memberitahu RMF 24 berkata, proses pengenalpastian perlu dilakukan sebelum keputusan untuk meneutralkan objek dibuat.
"Bagaimanapun, langkah pengesahan akhir tidak berlaku kerana keadaan cuaca," ujarnya.
Memandangkan Poland adalah anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), konfrontasi atau serangan langsung dari Rusia terhadap negara Eropah terbabit boleh mengheret pakatan ketenteraan blok Barat itu ke dalam konflik dengan Moscow.
Ukraine sedang berdepan dengan serangan udara berskala besar yang dilancarkan Rusia sejak Ahad. — Agensi
Pada waktu ini, Ukraine sedang berdepan satu serangan udara terbesar di wilayahnya oleh Rusia sejak pencerobohan berskala penuh pada Februari 2022.
Menurut komander tentera udara Ukraine, Mykola Oleshchuk, Rusia melancarkan 127 peluru berpandu dan 109 dron serangan semalaman bermula pada Ahad hingga ke pagi Isnin.
Ukraine berkata, ia menembak jatuh 102 peluru berpandu dan 99 dron semasa pertempuran sengit tersebut yang menyasarkan infrastruktur tenaga.
Serangan agresif itu menyebabkan sebahagian besar Ukraine tidak mempunyai bekalan elektrik dan memaksa orang ramai untuk mencari tempat perlindungan.
Rusia mengesahkan ia melancarkan serangan ke atas infrastruktur tenaga Ukraine sebagai salah satu taktik jangka panjangnya dengan kesemua sasarannya berjaya dicapai. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram