[VIDEO] Dari Batang Kali ke Turkiye, ramai harap Denti dan Frankie dikurniakan darjah kebesaran


  • Massa
  • Khamis, 09 Feb 2023

Dua ekor anjing pengesan (K9) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Denti (kiri) dan Frankie turut menyertai 70 pasukan penyelamat Malaysia dalam misi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa gempa bumi di selatan Turkiye. — Bernama

SELEPAS 55 hari tragedi tanah runtuh di Batang Kali, Selangor, anjing Unit Pengesan (K9), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM), Denti dan Frankie pada Rabu diterbangkan ke Turkiye untuk menyertai misi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa kejadian gempa bumi.

Selain Denti dan Frankie, penghantaran pasukan penyelamat kedua dari Malaysia turut disertai 20 anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), 30 anggota JPBM dan 20 pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Pada Disember 2022, Denti dan Frankie berjaya membantu bomba untuk mengesan enam mayat mangsa tragedi runtuhan cerun di tapak perkhemahan Father's Organic Farm di Jalan Genting Highlands-Batang Kali, Selangor.

Ketika itu Denti dan Frankie turut dibantu beberapa ekor anjing K9 iaitu Pop, Blake, Lady dan Grouse.

Anjing K9 ialah haiwan pengesan yang mempunyai kepakaran dan terlatih dalam mengesan mayat di dalam tanah serta air.

Ketika itu, Denti dan Frankie yang terbabit dalam operasi SAR mangsa runtuhan cerun itu mencuri perhatian orang ramai di media sosial yang kagum melihat kecekapan dan ketangkasan dalam operasi berkenaan.

Namun sekali lagi, Denti dan Frankie mendapat perhatian orang ramai apabila mereka ditugaskan menyertai misi mencari dan menyelamat di Turkiye akibat gempa bumi.

Menerusi tinjauan Majoriti di ruangan komen, rata-rata orang ramai memberikan ucapan kepada dua ekor anjing K9 itu.

"Turkiye masih dalam keadaan cuaca dingin, tolong pastikan Denti dan Frankie pakai baju/warmer please," kata @RozetheWanderer.

"Mahu dapat Datuk si Denti dan Frankie ini bila balik nanti," jelas @MuizOfficial.

"Selamat bertugas wira, semoga selamat pergi dan selamat balik," ujar @Nuneolighteu.

"Comel, semoga berkhidmat dengan cemerlang dapat menyelamatkan dengan sebaik mungkin dan seterusnya naikkan nama Malaysia," luah @Dddykool.

Dalam pada itu, Ketua Komander Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) JBPM, Ismail Abd Ghani berkata, anjing pengesan dibawa bersama bagi memaksimumkan tugasan apabila berada di lokasi.

"Anjing pengesan ini sangat membantu dalam usaha mengesan lokasi di mana mangsa berada.

"K9 adalah antara pasukan atau unit yang termasuk dalam misi mencari dan menyelamat SMART, jadi mereka ini memang bersedia untuk diatur gerak ke mana-mana (lokasi di) luar negara," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media pada pelepasan misi SAR di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, pada Rabu.

Ismail berkata, kedua-dua anjing terbabit dipilih menyertai misi itu kerana memiliki kepakaran mencari mangsa hidup dan mayat.

Ditanya sama ada Denti dan Frankie mampu bertahan dalam penerbangan ke Istanbul yang dijangka mengambil masa 11 jam, beliau berkata, perkara itu tidak menjadi masalah.

"Antara penilaian ketika perolehan dulu adalah anjing ini boleh dibawa melalui penerbangan, jadi tidak ada masalah untuk penerbangan yang lama kerana kita dah uji sebelum ini," katanya.

Beliau berkata, Denti dan Frankie pernah terbabit dalam operasi SAR tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm, Batang Kali pada 16 Disember tahun lalu.

Katanya, Denti, anjing daripada baka Labrador, dan Frankie daripada baka English Springer Spaniel, masing-masing akan dikendali oleh pegawai bomba Tony Anak Albert Mani dan Y Thibagaran.

Terkini, angka korban terbaharu akibat gempa bumi dahsyat Isnin lalu di tenggara Turkiye dan sempadan Syria sudah melepasi 7,800 orang.

Lapor Theguardian.com, di Turkiye, seramai 5,894 orang disahkan terbunuh manakala 1,932 orang maut di Syria dengan jumlah keseluruhan 7,826 kematian.

Pada Selasa, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut memberi amaran bahawa jumlah korban boleh melebihi 20,000 orang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram