Ahli keluarga terdekat didakwa bunuh Nuraina Humaira


  • Prosiding
  • Selasa, 27 Ogos 2024

Tertuduh yang merupakan saudara terdekat Nuraina Humaira merupakan remaja berusia 17 tahun.

SEORANG remaja lelaki berusia 17 tahun didakwa membunuh kanak-kanak Orang Asli, Nuraina Humaira Rosli, 10, di Mahkamah Majistret Sungai Siput, Perak.

Memetik laporan The Star, remaja tersebut yang dikatakan merupakan saudara terdekat kepada mangsa, mengangguk faham apabila pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Asyifa Redzuan pada Selasa.

Namun begitu, tertuduh tidak merekodkan sebarang pengakuan di hadapan majistret kerana kes bunuh tertakluk kepada bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

BACA LAGI: Polis sahkan Nuraina Humaira diperkosa sebelum dibuang dalam paya, remaja ada pertalian darah ditahan

BACA LAGI: Remaja 17 tahun suspek kes bunuh Nuraina Humaira disambung reman hingga Jumaat

Oleh kerana itu, mahkamah menetapkan sebutan semula kes adalah pada 28 Oktober untuk membolehkan serahan laporan kimia, patologi, DNA dan prestasi pelajar dilakukan.

Tertuduh didakwa membunuh Nuraina Humaira pada 16 Ogos lalu antara pukul 2.30 hingga 5.30 petang.

Kejadian itu dipercayai berlaku di sebuah kawasan paya terletak dekat Kampung Bersah, Pos Kuala Mu, Lasah, Sungai Siput.

Ia susulan Nuraina Humaira didapati hilang dan operasi mencari dan menyelamat dilakukan bagi mengesannya. Pada 17 Ogos, Nuraina Humaira ditemui tetapi sudah tidak bernyawa.

Ketika ditemui, mayat Nuraina Humaira didapati terdapat kesan cedera pada leher serta mengalami koyak pada kemaluan.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh menyebabkan hukuman mati atau penjara selama 30 hingga 40 tahun dan minimum 12 sebatan.

Untuk pesalah kanak-kanak pula, hukuman penjara akan ditahan selagi mendapat perkenan berdasarkan Seksyen 97(2) Akta Kanak-Kanak 2001. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram