Remaja 17 tahun suspek kes bunuh Nuraina Humaira disambung reman hingga Jumaat


Hasil siasatan ke atas suspek yang dipercayai terbabit dalam kes bunuh Nuraina Humaira sudah hampir lengkap. — Malaysia Gazette

TEMPOH perintah reman ke atas seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang disyaki terlibat dalam kes pembunuhan kanak-kanak perempuan Orang Asli, Nuraina Humaira Rosli, 10, dilanjutkan lima hari lagi.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin memaklumkan, tempoh itu dilanjutkan sehingga Jumaat ini bagi memudahkan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Mohd Khaizam berkata, pihaknya akan memberikan maklumat berhubung tarikh pertuduhan baharu kelak.

BACA LAGI: Siasatan kes bunuh Nuraina Humaira di peringkat akhir — Polis Perak

BACA LAGI: Polis sahkan Nuraina Humaira diperkosa sebelum dibuang dalam paya, remaja ada pertalian darah ditahan

2874182

Mayat kanak-kanak Orang Asli, Nuraina Humaira Rosli dipercayai diperkosa sebelum dibunuh oleh suspek. — Gambar fail

Sebelum ini, suspek ditahan pada 19 Ogos lalu selepas laporan bedah siasat ke atas mangsa mendedahkan beberapa kesan kecederaan akibat tekanan pada leher.

Polis juga tidak menolak kemungkinan mangsa dirogol sebelum dibunuh.

Dalam kejadian itu, mayat murid Tahun Empat Sekolah Kebangsaan (SK) Pos Kuala Mu, Perak itu ditemui kira-kira pukul 4.20 petang berikutan operasi mencari dimulakan selepas mangsa dilaporkan hilang sejak 16 Ogos lalu.

Mangsa kemudiannya ditemui dalam keadaan terbaring di kawasan berpaya di perkampungan Orang Asli Kampung Bersah, Pos Kuala Mu. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram