'Mana mampu saya tanggung RM3 juta', penternak lembu susu harap kerajaan bantu selesai isu bekalan elektrik, air ke ladang ternakan


  • Bizz
  • Jumaat, 23 Ogos 2024

Kamarulzaman berhasrat untuk meningkatkan produktiviti pengeluaran susu di ladangnya yang berlokasi di Bentong, Pahang.

PENGASAS Zaman Dairy Fresh, Kamarulzaman Seeni Mohideen, 59, menyuarakan harapan agar kerajaan dapat memberi sokongan dan bantuan sebagai langkah untuk memperkasakan ternakan ladang lembu yang diusahakannya.

Industri penternakan yang dijalankan itu juga bertujuan membantu dalam mengurangkan kadar kebergantungan negara terhadap susu dan daging import.

Bagi merealisasikan usaha itu, Kamarulzaman berkata, beliau berhasrat untuk meningkatkan produktiviti pengeluaran susu di ladangnya yang berlokasi di Bentong, Pahang.

BACA LAGI: [VIDEO] Selain Mykad, minta tunjuk aplikasi MySejahtera elak pelancong Indonesia ambil kesempatan beli tiket murah

BACA LAGI: [VIDEO] Selain Mykad, minta tunjuk aplikasi MySejahtera elak pelancong Indonesia ambil kesempatan beli tiket murah

Bagaimanapun, langkah tersebut dilihat agar sukar dilaksanakan dalam masa terdekat susulan ketiadaan sumber bekalan elektrik di kawasan berkenaan.

Menurutnya, ladang yang dikendalikan sejak sedekad lalu itu, sehingga kini masih menjana bekalan elektrik daripada generator.

"Saya berniat untuk mengeluarkan produktiviti susu dalam skala besar bagi membantu membekalkan susu kepada lebih ramai rakyat Malaysia.

"Namun aktiviti ini memerlukan bekalan elektrik yang sangat tinggi, sekiranya tiada, agak sukar untuk melaksanakannya.

"Elektrik penting untuk kerja-kerja memerah susu menggunakan mesin, cuci kandang dan menyimpan stok susu ke dalam peti agar tidak mudah rosak.

"Apabila guna generator, kita tidak berani mengambil risiko mengeluarkan kuantiti susu yang banyak disebabkan kekurangan tempat penyimpanan stok, bimbang susu cepat rosak," katanya kepada Majoriti.

Ditanya tentang proses permohonan elektrik di ladang tersebut, Kamarulzaman berkata, permohonan sudah dikemukakan pada tahun lalu, dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) juga sudah mengambil maklum dan bersetuju akan permohonan itu.

Bagaimanapun, terdapat halangan dari segi pemasangan tiang elektrik sepanjang 3.5 kilometer (km) yang sepatutnya dibina di laluan Lebuhraya Central Spine Road (CSR).

Ujarnya, Jabatan Kerja Raya (JKR) di kawasan tersebut tidak membenarkan pemasangan tiang berkenaan kerana berisiko menyebabkan berlakunya kemalangan jalan raya.

1

Ladang yang terletak di Bentong itu memiliki lebih 40 ekor lembu.

"JKR kemudian cadang agar kami membuat kabel bawah tanah untuk menyalurkan bekalan tenaga elektrik, namun kos pelaksanaannya memakan jumlah hampir RM900,000.

"TNB hanya menanggung kos pemasangan tiang elektrik sahaja, tetapi untuk membuat kabel bawah tanah, pengusaha perlu tanggung sendiri.

"Kalau kami cari pinjaman untuk memasang itu sahaja, bagi kami jumlahnya terlalu tinggi. Bila kita nak habis bayar hutang itu? Jadi saya memang tak mampu nak tanggung," adunya.

Mengulas lanjut, Kamarulzaman menjelaskan, saluran bekalan tenaga elektrik juga membolehkan pihaknya menambah jumlah lembu ternakan di ladangnya.

Bukan hanya elektrik, ladang Zaman Dairy Fresh juga berdepan masalah sumber air, yang mana mereka ketika ini hanya bergantung semata-mata daripada air bukit, dengan jarak dua kilometer.

Menggunakan paip poli sebagai medium saluran, bapa kepada lima cahaya mata itu mengakui, air bukit yang disalurkan ke ladang sememangnya bersih.

Namun masalah akan timbul setiap kali waktu hujan dan kemarau.

Snapinsta.app_208671210_311315193963074_566568326858135749_n_1080

Kamarulzaman berniat untuk mengeluarkan produktiviti susu dalam skala besar bagi membantu membekalkan susu kepada lebih ramai rakyat Malaysia.

"Apabila hujan lebat, paip poli kami akan hanyut dibawa arus, jadi kita perlu buat semula paip, yang pastinya memakan masa dan kos agak tinggi.

"Selain itu, pada musim panas atau kemarau, timbul masalah ketiadaan air pula. Air memang ada, tapi tidak cukup banyak untuk disalurkan ke ladang kami apabila tiba musim panas.

"Sekiranya dapat elektrik, saya bercadang untuk menggunakan alternatif air boring (proses pengerudian), ambil air ke dari bawah tanah ke permukaan melalui laluan paip," kata beliau sambil memberitahu bahawa ladangnya memiliki lebih 40 ekor lembu, dengan penghasilan 4,000 liter susu sebulan.

4

Kamarulzaman berhasrat untuk mengurangkan kadar kebergantungan negara terhadap susu import.

Sehubungan itu, Kamarulzaman turut menyuarakan hasrat agar kerajaan menerusi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan Kementerian Ekonomi untuk menyalurkan peruntukan sekitar RM3 juta bagi mempermudah urusan pihaknya mendapatkan bekalan tenaga elektrik, sumber air, di samping menambah baik infrastruktur jalan di kawasan ladang berkenaan.

Ditanya tentang perkembangan sektor perladangan dalam negara, beliau berpandangan, negara masih lagi bergantung dengan sumber import seperti susu dan daging.

Sedangkan ujarnya, selain tanah yang subur, Malaysia juga dilimpahi dengan cuaca hujan dan panas yang membolehkan rakyat mengusahakan tanaman di negara ini.

Justeru, usahawan itu berharap langkah pihaknya mengembangkan sektor perladangan sedikit sebanyak mampu mengurangkan kadar kebergantungan negara terhadap susu import.

"Malaysia negara yang membangun dan semakin maju, tetapi duit banyak keluar ke negara lain untuk mendapatkan bekalan sumber makanan.

"Jadi kalau kembangkan bidang penternakan atau pertanian, kita berupaya mengurangkan import dan seterusnya mampu mencipta situasi kewangan negara yang lebih stabil dan terjamin," jelas beliau. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram