Dua pelajar Malaysia terpilih ikuti program CSSP bersama 150 saintis muda dunia di Geneva


  • Primer
  • Rabu, 14 Ogos 2024

Zi Jun (kiri) dan Nurul Nabiilah ketika menyetai program CSSP di Geneva, Switzerland. — MOSTI

DUA pelajar cemerlang Malaysia, Nurul Nabiilah Sulaiman, 25, dan Shim Zi Jun, 23, terpilih untuk menyertai Program Pelajar Musim Panas CERN (CSSP) di Geneva, Switzerland.

Mereka merupakan antara 150 saintis muda dari seluruh dunia yang ditawarkan peluang istimewa bagi mengambil bahagian secara aktif dalam operasi harian kumpulan penyelidik yang menjalankan eksperimen di Pertubuhan Penyelidikan Kajian Nuklear Eropah (CERN).

Program berkenaan yang bermula pada 1 Julai lalu akan berlangsung sehingga 25 Ogos depan.

BACA LAGI: 'Ada kutuk, perlekeh', pensyarah ADTEC Pahang buktikan inovasi bantu OKU beri pulangan RM80,000

BACA LAGI: Sakit kulit dihidapi jadi ilham Sarah bina Cuura, muncul jenama produk kulit sensitif dipercayai pengguna

Nurul Nabiilah merupakan graduan lulusan Ijazah Sarjana Muda dalam Fizik dari Universiti Malaya berkata, beliau sangat teruja untuk mewakili Malaysia di CSSP 2024.

"Ini adalah peluang yang luar biasa bagi merealisasikan impian saya untuk menjejakkan kaki di makmal fizik zarah terbesar di dunia!

"Peluang sekali seumur hidup ini membolehkan kami menyumbang kepada penyelidikan baharu dan membawa semangat inovatif negara kita ke peringkat global.

"Selepas program ini, saya bercita-cita untuk memberi inspirasi kepada belia Malaysia, memupuk minat mereka dalam sains, terutamanya dalam fizik dan kejuruteraan, seterusnya meningkatkan komuniti saintifik negara.

"Pengalaman ini benar-benar bermakna dalam hidup saya, sesuatu yang tidak akan saya lupakan,” katanya yang sedang melanjutkan Ijazah Sarjana Sains dalam Kejuruteraan Komunikasi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Minat Nurul Nabiilah terhadap komuniti dan sains juga menjadi antara pendorong semangat kerjasama dan dedikasinya terhadap pembelajaran yang berterusan.

Sementara itu, Zi Jun yang mahir dalam perisian AutoCAD, Revit, dan program Microsoft Office pula bersemangat untuk menyumbangkan kepakaran kejuruteraan dimiliknya kepada CSSP.

455081697_924918249663831_8060695990329037255_n

Seramai 150 saintis muda dari seluruh dunia yang ditawarkan peluang istimewa bagi mengambil bahagian secara aktif dalam operasi harian kumpulan penyelidik yang menjalankan eksperimen di CERN. — MOSTI

Dia merupakan pelajar Ijazah Sarjana dalam Kejuruteraan Awam di University of Nottingham.

“Saya berbangga dan berbesar hati untuk mewakili Malaysia dalam program ini. Saya sangat bersyukur kerana ia membantu saya merealisasikan impian zaman kanak-kanak saya.

"Dengan pendedahan yang tidak ternilai dalam sains, perspektif saya tentang kehidupan telah berubah menjadi lebih baik dan telah membantu saya melangkah keluar dari zon selesa saya.

"Saya berharap dengan berkongsi pengalaman ini, ia akan memberi inspirasi kepada lebih

ramai pelajar STEM masa hadapan di Malaysia,” kata Zi Jun.

Sejak tahun 2012, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Akademi Sains Malaysia (ASM) telah menghantar 25 pelajar, termasuk edisi tahun ini, ke CSSP untuk meningkatkan keupayaan saintifik negara serta mempromosikan kerjasama antarabangsa.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, CSSP merupakan peluang penting untuk bakat muda tanah air untuk berkembang, berinovasi, dan memimpin Malaysia ke masa hadapan dengan kecemerlangan saintifik dan teknologi.

"Inisiatif ini dapat menyumbang kepada agenda nasional kita dalam membangunkan kumpulan bakat yang teguh.

"Dengan melabur usaha dalam pelajar kita, kita sedang mempersiapkan mereka untuk menjadi lebih cemerlang dalam bidang memuncul masing-masing dan menyokong visi Malaysia untuk menjadi sebuah negara berteknologi tinggi menjelang 2030,” katanya.

455269315_924918306330492_8474881283782191441_n

Zi Jun (kiri) dan Nurul Nabiilah dipilih antara 47 calon disenarai pendek di dalam negara. — MOSTI

Sementara itu, Presiden Akademi Sains Malaysia (ASM), Datuk Dr Tengku Mohd Azzman Shariffadeen berkata, penyertaan pelajar Malaysia dalam CSSP sejajar dengan misi ASM untuk memupuk dan membangunkan bakat terkemuka dalam sains, teknologi dan inovasi.

"Penyertaan dalam program antarabangsa yang berprestij seperti CSSP memupuk bakat bernilai tinggi yang akan menyumbang secara positif kepada kapasiti dan keupayaan inovasi kita.

"Rangkaian institusi dan individu yang dibangunkan melalui hubungan global ini akan memberi pengaruh besar dalam meningkatkan pembangunan teknologi Malaysia dan daya saing global.”

Pada tahun ini, ASM menjalankan proses pencalonan dan pemilihan CSSP dengan seramai 47 calon telah disenarai pendek.

Jawatankuasa Pemilihan CSSP telah menjalankan temuduga bagi mengenal pasti calon yang paling cemerlang.

Dua nama dihantar daripada kumpulan tersebut kepada CERN, dengan Nurul Nabiilah dan Zi Jun telah terpilih untuk menyertai program ini.

CSSP 2024 menjanjikan pengalaman yang menyeluruh dengan ceramah khusus oleh pakar global dalam teori dan eskperimen fizik zarah, kejuruteraan dan pengkomputeran.

Peserta akan terlibat dalam lawatan ke kemudahan utama CERN seperti ATLAS, Synchrocyclotron, Antiproton Decelerator dan Pusat Data.

Aktiviti-aktiviti ini akan memberikan pengalaman praktikal di makmal yang canggih, memperdalam pemahaman mereka dan memupuk perbincangan interaktif. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram