Roti canai, durian jadi kod rahsia sindiket benarkan warga asing masuk Malaysia tanpa pemeriksaan di KLIA


  • 112
  • Khamis, 22 Ogos 2024

Roti canai dan durian antara kod rahsia yang digunakan dalam sindiket membenarkan warga asing tanpa pemeriksaan di KLIA. — Gambar hiasan/blog

TERDAPAT beberapa kod rahsia dikesan digunakan oleh individu terlibat dalam sindiket jenayah untuk berkomunikasi dengan pegawai agensi penguatkuasaan untuk membenarkan warga asing memasuki Malaysia tanpa pemeriksaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Menurut sumber, antara kod digunakan adalah budak sekolah, salak, limau, karpet, roti canai, junta dan ayam untuk merujuk kepada kewarganegaraan yang dibawa ke kaunter.

"Manakala, kod seperti lembu dan durian pula bermaksud pembayaran atau transaksi yang dibuat kepada pegawai terlibat," katanya.

BACA LAGI: [VIDEO] Lereng bukit runtuh, kereta tenggelam akibat banjir kilat di Kuala Lumpur

BACA LAGI: Teori dakwaan Jho Low bayangan Najib tiada bukti, tak boleh disokong — Peguam

6213033054432247224

Beberapa kod rahsia dikesan dalam sindiket membenarkan warga asing memasuki negara tanpa pemeriksaan. — Gambar hiasan

Sumber itu berkata, siasatan mendapati suspek yang bekerja di Terminal 1 dan Terminal 2 menerima antara RM500 dan RM2,500, mengikut kewarganegaraan warga asing itu.

Katanya, pegawai di kedua-dua terminal akan menerima nama dan gambar mereka yang dibawa masuk oleh sindiket itu melalui aplikasi WhatsApp.

"Kumpulan warga asing yang tiba dan dibawa masuk oleh sindiket itu akan diarahkan ke kaunter khusus bagi mendapatkan cop pasport masuk ke negara ini.

"Sindiket itu kemudiannya akan membuat pembayaran secara tunai atau melalui pindahan wang melalui bank dalam tempoh satu atau dua hari," katanya lagi.

Bukan itu sahaja, akaun bank yang digunakan pula adalah daripada individu terlibat secara langsung, akaun bank proksi atau syarikat tertentu.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki bagaimanapun berkata, pihaknya sedang mengesan pegawai lain yang terlibat dan lebih ramai lagi akan dipanggil untuk disoal siasat.

Katanya, warga asing yang menggunakan khidmat sindiket itu untuk memasuki negara ini sukar untuk dikesan.

"Ini adalah antara sebab di sebalik peningkatan drastik pendatang asing tanpa izin (PATI) yang bekerja di negara ini," katanya.

Pada Selasa, seramai 11 orang termasuk empat pegawai agensi penguatkuasaan ditahan dalam serbuan di Lembah Klang, Kelantan dan Pulau Pinang. — The Star/JUSTIN ZACK

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram