[VIDEO] Isteri Tun Daim dapat semula pasport sementara ke China


  • Prosiding
  • Jumaat, 23 Ogos 2024

Permohonan oleh Na'imah untuk mendapat pelepasan sementara pasport itu dibuat untuk tujuan kerja di China.

MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur membenarkan Toh Puan Na'imah Abdul Khalid mendapat akses sementara kepada pasportnya untuk perjalanan ke China atas urusan berkaitan kerja pada akhir bulan ini.

Pada Jumaat, Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi membuat perintah untuk melepaskan pasport isteri bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin itu dari 28 Ogos hingga 9 September.

Terdahulu, peguam Na'imah, Nizamuddin Hamid berkata permohonan itu dibuat untuk tujuan kerja.

BACA LAGI: Tawarkan pengalaman unik dan mengasyikkan antara kunci industri runcit buku mampu kekal relevan

BACA LAGI: 3PBI rangka pelan komprehensif tingkat mutu Bahasa Inggeris di sekolah seluruh negara

Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Fadly Mohd Zamry tidak membantah sebaliknya meminta dokumen perjalanan itu dikembalikan ke mahkamah dalam tempoh 48 jam selepas Na'imah kembali ke Malaysia.

Permintaan itu turut dipersetujui oleh Hakim.

Na'imah sebelum ini dibenarkan ke luar negara untuk menghadiri pameran seni di Venice dan untuk mesyuarat di London pada Julai lalu.

6215355257349848352

Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin.

Pada 23 Januari lepas, Na'imah didakwa dengan sengaja memberi kenyataan bertulis secara bersumpah yang tidak mematuhi terma notis di bawah Seksyen 36(1)(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, di mana dia didakwa tidak mengisytiharkan aset seperti yang dinyatakan dalam Lampiran A.

Aset yang disenaraikan ialah dua syarikat, Ilham Tower Sdn Bhd dan Ilham Baru Sdn Bhd; dua kereta mewah dan lapan hartanah terdiri daripada Menara Ilham di Jalan Binjai, sebuah rumah di Persiaran Bukit Tunku, empat lot tanah di Bukit Tunku, satu lot di Pulau Pinang serta sebuah rumah di Taman Tun Dr Ismail.

Nai'mah yang berusia 67 tahun itu didakwa mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM dan berdepan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda tidak melebihi RM100,000 jika sabit kesalahan.

Na'imah dibenarkan diikat jamin RM250,000 dengan seorang penjamin.

Sebagai sebahagian daripada syarat jaminan, dia terpaksa menyerahkan pasportnya kepada mahkamah. — The Star/NURBAITI HAMDAN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram