RAJESH Nagarajan mendakwa anak guamnya, Wira Dani disoal siasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tanpa mendapat representasi undang-undang.
Peguam yang wakili anak Tun Daim Zainuddin itu mendakwa, anak guamnya telah dipanggil ke ibu pejabat SPRM pada 22 Ogos lalu untuk membantu siasatan lanjut terhadap Tun Daim.
"Walaupun peguamnya hadir, Wira Dani dinafikan haknya untuk mendapatkan representasi undang-undang," ujar Rajesh dalam satu kenyataan pada Jumaat.
BACA LAGI: Tawarkan pengalaman unik dan mengasyikkan antara kunci industri runcit buku mampu kekal relevan
BACA LAGI: 3PBI rangka pelan komprehensif tingkat mutu Bahasa Inggeris di sekolah seluruh negara
Beliau mendakwa, pegawai SPRM menolak permintaannya sebagai wakil peguam untuk mengiringi Wira Dani.
"...ia adalah penafian haknya untuk mendapatkan nasihat dan perwakilan undang-undang. Ini adalah pelanggaran terang-terangan hak perlembagaan yang dijamin di bawah Perkara 5(3) Perlembagaan Persekutuan."
"Wira Dani terpaksa menjalani soal siasat berjam-jam tanpa peguamnya, satu kelakuan yang tidak boleh dibiarkan," katanya.
Tun Daim Zainuddin
Dalam pada itu, Rajesh turut meminta SPRM dan Menteri Dalam Negeri memberi penjelasan termasuk memastikan hak dan keselamatan Wira Dani akan terpelihara.
SPRM ketika dihubungi memaklumkan akan memberikan respons dalam masa terdekat
Pada awal tahun ini, Daim yang juga bekas Menteri Kewangan didakwa gagal mematuhi notis SPRM dengan tidak mengisytiharkan 70 aset hartanya dan satu bank akaun, Disember tahun lalu.
Bagaimanapun, beliau mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan ke atasnya di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
SPRM sebelum itu dilaporkan menyiasat Daim berhubung dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram dibuat berdasarkan maklumat daripada Kertas Pandora. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram