PERJALANAN ke tempat kerja akan menjadi sangat meletihkan jika terpaksa menempuhi kesesakan lalu lintas atau merebut tempat duduk di dalam tren.
Situasi itu secara tidak langsung memberi impak negatif kepada kualiti hidup masyarakat kerana mengalami tekanan atas sebab yang tidak perlu.
Isu kesesakan tersebut juga kebiasaannya banyak berlaku terutamanya di kawasan bandar-bandar pesat seperti di Lembah Klang.
BACA LAGI: Hanya lambat 54 saat, ECRL dan HSR boleh contohi sistem kereta api di Jepun
Peningkatan jumlah kenderaan antara punca kesesakan lalu lintas di Malaysia. — Gambar hiasan/The Star
Malah, dasar menggalakkan pemilikan kenderaan persendirian antara punca masalah tersebut berlaku dan sukar untuk diselesaikan dengan pertambahan jumlah kenderaa saban tahun.
Berdasarkan pemerhatian pakar pengangkutan awam darat, Wan Agyl Wan Hassan pada Jun lalu, galakan yang dikatakan itu didorong oleh peningkatan rekod jualan dan jumlah kenderaan berdaftar di Malaysia.
Setakat Oktober 2023, jumlah kenderaan berdaftar mencecah 36.3 juta unit dengan hampir 24 juta masih aktif.
Ditambah pula jenama Perodua dan Proton yang masih menguasai pasaran dengan sebanyak 330,325 dan 150,972 unit dijual pada 2023.
Bahkan, firma penyelidikan pasaran BMI, syarikat milik Fitch Solutions mendapati bahawa jualan kenderaan di negara ini meningatkan sebanyak 3.8 peratus pada tahun sama.
Berbasikal ke tempat kerja boleh meningkatkan tahap kesihatan. — Gambar hiasan/blog
Namun, tidak seperti di negara Eropah yang sangat menggalakkan rakyatnya menggunakan basikal sebagai medium utama ke tempat kerja.
Berbasikal adalah sangat baik untuk kesihatan dan merupakan alternatif terbaik bagi menggantikan kenderaan bermotor yang menyumbang 90 peratus gas karbon dioksida seperti kereta atau motosikal.
Mengambil contoh di Belanda, kerajaan mereka menggalakkan amalan sihat itu dengan menawarkan elaun jarak perjalanan kepada penunggang basikal.
Rakyat mereka juga akan menggunakan basikal secara purata kira-kira 2.6 kilometer (km) sehari.
Elaun yang pada awalnya ditawarkan khusus buat pemilik kenderaan bagi menampung kos penggunaan minyak petrol.
Setiap syarikat di negara itu memberi elaun sebanyak 0.91 sen perkilometer kepada pekerja mereka yang berbasikal ke tempat kerja sejak 2006.
Kenderaan bermotor secara tidak langsung mendorong kepada pencemaran udara. — Gambar hiasan/Agensi
Selain Belanda, Belgium, Perancis, Itali juga melaksanakan inisiatif sama dalam memupuk amalan tersebut.
Manakala di Luxembourgh dan United Kingdom pula mengambil langkah menawarkan potongan cukai sehingga 32 peratus untuk membeli basikal baharu.
Justeru, pihak kerajaan mahupun mana-mana syarikat di Malaysia boleh mengambil peluang dengan mengaplikasikan cara tersebut untuk menangani masalah kesesakan pada masa sama mengurangkan risiko pencemaran udara.
Berdasarkan laporan Pakar Perunding Respiratori dan Perubatan Dalaman Hospital Columbia Puchong, Dr Jurina Mohd Hassan pada 2020, Greenpeace Asia Tenggara dan Pusat Penyelidikan Tenaga dan Udara Bersih (CREA) menganggarkan kos global pencemaran udara disebabkan oleh bahan api fosil sekitar RM36.45 bilion sehari atau kira-kira 3.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar dunia.
Di samping itu, peningkatan jumlah penggunaan kenderaan di Malaysia turut dikhuatiri menjadi penyumbang kepada fenomena pulau haba bandar (PHB) iaitu suhu di bandar lebih panas berbanding di kawasan pinggiran disebabkan pelepasan asap kenderaan bermotor. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram