KONTINJEN negara di Sukan Olimpik terus kempunan apabila mereka sekali lagi tidak berjaya untuk membawa pulang pingat emas.
Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis menjadi saksi, kontinjen negara sekadar meraih dua pingat gangsa iaitu menerusi Lee Zii Jia dan Aaron Chia-Soh Wooi Yik dalam acara badminton.
Sudah pasti menjadi persoalan rakyat Malaysia, adakah atlet negara yang mewakili negara ke Paris wajar diberi peluang untuk menebus kekecewaan mereka dalam Sukan Olimpik Los Angeles 2028?.
BACA LAGI: [VIDEO] Makin pudar sayang, import Korea disebut fans punca The Rhinos tersungkur di laman sendiri
Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang sebak apabila gagal menyumbang pingat buat Malaysia. — Facebook/MSN
Malah, jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang baru-baru ini mendedahkan bahawa dia bersedia untuk mempertimbangkan semula keputusan persaraannya namun meminta sedikit masa bagi berbincang dengan ahli keluarganya.
Azizulhasni sudah melalui pelbagai liku dalam kariernya untuk memburu pingat emas di Sukan Olimpik dengan terbaharu terlepas genggaman berkenaan selepas dibatalkan penyertaan dalam acara keirin Paris 2024 kerana memotong pacer terlalu awal.
Ia nyata menjadi satu pengakhiran yang tidak dimahukan semua peminat sukan tanah air termasuk tuan badan sendiri yang nyata masih belum dapat menghadamkan sepenuhnya insiden berkenaan.
Bagi pemerhati sukan tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli beranggapan bahawa Azizulhasni atau mesra dengan panggilan The Rocket Pocketman itu perlu membuat keputusan yang bijaksana untuk masa depannya.
"Bagi saya, Azizulhasni perlu buat keputusan yang bijaksana dalam hal ini. Keputusan yang dibuat itu haruslah bukan disebabkan kerana dia nak menebus kekecewaan kerana gagal di Paris.
"Kita nak paksa Datuk Azizulhasni supaya bersara pun rasa macam tak patut. Cuma kadang-kadang bila kita nak buat satu-satu keputusan itu kita kena fikir juga apakah ianya bukan sahaja baik untuk kita tetapi ianya mesti juga baik untuk orang lain dan paling penting ianya juga mesti baik untuk masa depan sukan negara kita," katanya kepada Majoriti.
Dhabitah gagal menyumbang pingat buat Malaysia. — Facebook/MSN
Begitupun, Pekan masih menyimpan hasrat untuk melihat Azizulhasni atau mesra dengan sapaan Jijoe itu sekali lagi beraksi di temasya berprestij itu.
"Empat tahun lagi mungkin Azizulhasni boleh beraksi lagi dan mungkin boleh layak ke Olimpik secara merit. Namun kita perlukan perancangan lain yang lebih berdaya maju dalam sukan basikal trek khususnya dalam menyediakan pelapis baru negara untuk sukan ini, ujarnya.
Begitupun, berbeza pendapat pula dengan penerjun negara, Nur Dhabitah Sabri, Pekan berpandangan bahawa atlet berusia 25 tahun itu kini boleh melupakan impiannya untuk beraksi di Los Angeles.
"Untuk Dhabitah, saya rasakan sudah sampai waktunya untuk dia memikirkan satu kerjaya masa depan yang lebih penting buat dirinya berbanding untuk menyertai Sukan Olimpik Los Angeles 2028 nanti," tambahnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram