BAGI peminat sukan bela diri, Saiful Merican bukan satu nama yang asing.
Memegang gelaran sebagai Saiful "The Vampire" Merican, bekas atlet sukan seni bela diri campuran (MMA) ini turut pernah berada di kedudukan atlet Muay Thai nombor satu dunia pada 2009.
Namun, sumbangannya terhadap sukan seni bela diri tidak terhenti setakat itu.
BACA LAGI: Bekas jurutera petroleum tolak tepi soal untung, buka gim demi bantu orang lain
BACA LAGI: Siap belajar bertanam 2 minggu, petani B40 di Putrajaya bakal tuai hasil cili cecah RM1.2 juta
Anak kelahiran Setiu, Terengganu, ini turut merupakan pemilik kepada pusat latihan Muay Thai yang dikenali sebagai Merican Muay Thai Gym yang kini beroperasi di tiga lokasi berbeza sekitar Kuala Lumpur.
Berkongsi kepada Majoriti, Saiful berkata, idea memulakan perniagaan membuka pusat latihan itu sememangnya sudah timbul sejak dia masih aktif bersaing sebagai atlet seni bela diri.
"Salah satu perancangan saya sebelum bersara memang saya nak ada gim untuk kongsikan ilmu kepada murid. Jadi memang waktu saya masih aktif, perancangan itu dah ada," katanya.
Saiful (kanan) pernah mendapat kedudukan sebagai atlet Muay Thai nombor satu dunia pada 2009. — Instagram/SaifulMerican
Saiful yang mula bertarung secara profesional sejak berusia 11 tahun berkata, ketika tempoh awal pembabitannya dalam sukan tersebut, Muay Thai dilihat masih belum begitu dikenali di dalam negara.
Malah menurutnya pada waktu itu, dia terpaksa menyeberang ke Thailand dari Terengganu untuk menguasai sukan seni bela diri berkenaan.
Sehubungan itu, selain mempromosikan sukan Muay Thai, beliau berkata, idea mewujudkan pusat latihan tersebut juga bertujuan membantu menangani isu sosial seperti buli, di samping membantu murid membina keyakinan diri.
"Bagi saya, kalau saya sekadar bercakap di platform media sosial, dia tak cukup kuat berbanding kita duduk face to face dengan student bila dia orang bertanyakan soalan. Dia orang bertanya pendapat dan sebagainya.
"Sebab setiap murid kalau saya jumpa dan tanya kenapa mereka memilih nak berlatih Muay Thai, ada yang kata sebab kawan, ada yang sebab nak dapat keyakinan diri, ada yang sebab nak kurus, ada yang sebab nak sihat. Setiap orang yang kita jumpa itu ada sebab yang berbeza.
"Jadi benda macam itu yang mendorong saya dari hanya satu gim hingga sekarang ini dah ada tiga," kongsi beliau.
Merican Muay Thai Gym buat pertama kalinya beroperasi bermula pada 2010 di Mont Kiara, Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, pada 2020, ia kemudiannya memindahkan operasi ke Damansara Jaya sebelum ia menambah dua lagi cawangan iaitu di Bukit Damansara dan yang terbaharu pada November tahun lalu di Kota Damansara ekoran daripada sambutan yang menggalakkan.
Cabaran lima tahun pertama
Salah satu cawangan Merican Muay Thai Gym yang terletak di Damansara Jaya.
Dalam pada itu, Saiful mengakui bahawa perniagaannya sememangnya berdepan dengan cabaran daripada segi kewangan dan juga penerimaan awal orang ramai terhadap sukan tersebut ketika tahun-tahun awal mereka bermula.
Beliau berkata, pada waktu itu, jumlah pusat latihan sukan seni bela diri yang wujud di sekitar Lembah Klang juga masih dianggap kecil dan belum begitu mendapat permintaan.
"Kita pun pernah lalui tahun kedua yang agak mencabar sebab masa itu gym tak banyak dan orang pun tak tahu sangat mengenai Muay Thai. Mereka rasa Muay Thai ini satu latihan yang menyakitkan.
"Sedangkan latihan untuk seni bela diri yang tujuan senaman itu berlainan dengan latihan untuk atlet profesional. Jadi tahun pertama itu kita hanya ada lapan laki dan dua perempuan.
Bagaimanapun, Saiful berkata, dengan keyakinannya terhadap sukan tersebut dan dibantu bersama dua rakan kongsinya, dia berjaya untuk mengharungi tempoh sukar berkenaan.
"Berdasarkan saya punya pengalaman, apa-apa sahaja perniagaan kita tidak akan rugi selagi kita tak putus asa. Sebab pertama, yang paling mencabar untuk apa-apa perniagaan adalah tempoh lima tahun pertama.
"Maksudnya lima tahun pertama, kalau kata kita belanja contoh RM100,000 untuk buka satu perniagaan, kita tak boleh nak harap dapat keuntungan RM100,000 bersih dalam masa setahun dua tahun pertama terutama kalau perniagaan kita itu adalah baru dan tidak dikenali.
"Jadi bagi sekurang-kurangnya lima tahun untuk nak dapat semula pulangan daripada pelaburan yang telah dibuat. Kebanyakan orang bila mereka buka perniagaan, tahun pertama dia nampak tak ok, dia akan terus putus asa," ujarnya.
Pada masa sama, Saiful turut mengingatkan bahawa adalah penting untuk sesebuah perniagaan itu bagi memiliki pengurusan kewangan yang baik sekiranya mahu kekal beroperasi untuk satu tempoh yang lama.
Pada waktu ini, Merican Muay Thai Gym memiliki seramai kira-kira lebih 400 ahli aktif di ketiga-tiga cawangannya setiap daripadanya menerima kedatangan harian mencecah 60 hingga 70 murid.
Selain itu, pusat latihan tersebut turut mempunyai seramai 12 pelatih dengan kesemuanya terdiri daripada individu yang beraksi secara profesional dalam sukan seni bela diri.
Menurut Saiful, selepas lebih sedekad beroperasi, dia juga kini melihat perubahan sikap ditunjukkan oleh masyarakat terhadap sukan tersebut yang kini dilihat sebagai sebahagian daripada gaya hidup.
Saiful (kanan) membuka Merican Muay Thai Gym pada 2010.
Pada waktu ini, menurutnya, 80 peratus daripada murid yang menyertai programnya adalah bertujuan untuk senaman dan bukannya untuk bersaing secara profesional.
"Kalau dulu tahun pertama, kita ada lapan lelaki dua perempuan, tapi sekarang kalau tanya saya, 70 peratus murid saya perempuan," ujarnya.
Bergerak ke hadapan, Saiful berkata, dia sememangnya mempunyai perancangan untuk meningkatkan lagi jumlah cawangan pusat latihannya di lokasi lain.
Pada masa sama, beliau turut berharap agar Merican Muay Thai untuk menjadi tempat membantu lebih ramai lagi remaja bermasalah yang keluar daripada institusi pemulihan dan mahu mengubah nasib ke arah lebih baik.
"Salah satu saya punya impian adalah untuk bantu mereka yang bermasalah ini kerana mereka ini masih muda. Semua orang pernah muda dan buat kesilapan termasuk kita.
"Tapi tak semestinya mereka ini tak boleh nak mengubah hidup mereka. Jadi ke depan ini, saya nak latih lagi banyak orang-orang macam ini," ujarnya.
Untuk rekod, Saiful membuat keputusan untuk bersara daripada menjadi atlet profesional pada tahun lalu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram