MAJORITI masyarakat zaman sekarang lebih berfikir ke hadapan khususnya dalam membina kerjaya relevan dengan situasi kini.
Dengan lambakan graduan universiti secara tidak langsung memberi cabaran kepada generasi muda untuk mendapatkan pekerjaan tetap di negara ini.
Berdasarkan kajian diterbitkan dalam Jurnal Belia dan Remaja oleh penyelidik di Universiti Metropolitan Osaka, Jepun baru-baru ini mendapati, ramai yang mula mahu mengenal pasti pekerjaan sesuai apabila mencecah usia 20-an.
BACA LAGI: Berani tonjolkan diri, ibu tak pernah berhenti buka jalan Zaza kembangkan bakat atas pentas
Status pekerjaan juga akan menentukan karakter individu tersebut. — Gambar hiasan/Agensi
Malah, status pekerjaan seperti bekerja sepenuh masa, sambilan mahupun menganggur dilihat memainkan peranan penting dalam pembinaan identiti diri mereka.
Mengikut kajian sama, individu dewasa yang menjalani proses perubahan kerjaya secara mendadak daripada bekerja sepenuh masa sehingga kehilangan kerja lebih berkemungkinan mengalami krisis atau identiti.
Hal ini kerana, proses tersebut sekali gus menyebabkan perubahan drastik untuk mereka menyesuaikan diri dengan keadaan itu.
Manakala, bagi individu berumur lingkungan 20-an yang lebih stabil dalam kerjaya pula kurang mengalami kesukaran mencari kemampuan diri.
Kajian sama turut menjukkan bahawa identiti sangat berkait rapat dengan kestabilan pekerjaan dalam kalangan generasi muda.
Ia disokong kuat oleh seorang profesor di Graduan Sekolah Sains Sistem Lestari di Universiti Metropolitan Osaka, Kai Hatano dengan menyatakan, kajian itu membuktikan bahawa penerapan identiti merupakan elemen penting yang mendorong kepada kesejahteraan jangka masa panjang.
Terdapat pelbagai jenis pekerjaan yang mempengaruhi status seseorang. — Gambar hiasan/Agensi
Sementara itu, cara membentuk identiti melalui status pekerjaan dalam kalangan anak muda di Malaysia pula sedikit berbeza dengan wujudnya trend keseimbangan hidup dan bekerja.
Mereka pada masa sama juga menjadikan fleksibiliti sebagai antara kriteria utama dalam pemilihan sesuatu kerjaya itu.
Menerusi kajian yang dijalankan Pusat Penyelidikan Undian Universiti UCSI pada Mac lalu, sebanyak 34 peratus lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tidak melanjutkan pelajaran memilih pempengaruh, affiliate (rakan sekutu) dan pencipta kandungan media sosial, diikuti ekonomi gig (26 peratus), memulakan perniagaan (22 peratus) sebagai kerjaya.
Manakala, menurut Setiausaha Kehormat Chartered Management Institute Singapura, Suanny Gouw, fleksibiliti memilih lokasi dan waktu bekerja dapat mengurangkan tekanan dan mampu menyumbang kepada peningkatan produktiviti serta kualiti kerja.
Seiring dengan perkembangan teknologi, ramai juga golongan muda terutamanya generasi Z di negara ini memilih untuk bersaing dalam sesuatu bidang kerja melalui platform media sosial.
Sebagai contoh, kerjaya seperti pempengaruh atau pencipta kandungan secara sendiri dilihat lebih digemari oleh golongan muda kerana ia tanpa sedar dapat memberi pendedahan lebih luas dalam menonjolkan bakat atau kemampuan diri kepada orang ramai.
Menjadikan pencipta kandungan sebagai kerjaya dilihat semakin berkembang seperti trend termasuk di Malaysia. — Gambar hiasan/Agensi
Kerjaya seperti ini secara tidak langsung dapat membina identiti generasi dengan sifat dinamik dan gemar melakukan pelbagai jenis kerja yang tidak membosankan setiap hari.
Jika dilihat daripada sudut pencipta kandungan media sosial, golongan itu berkemungkinan lebih sukakan cabaran baharu seperti bertemu individu berbeza, meneroka beberapa lokasi mahupun menyelesaikan apa jua tugasan berlainan setiap hari.
Berbeza dengan generasi muda di Jepun yang lebih memilih kestabilan kerjaya, golongan itu di Malaysia dilihat bersikap lebih terbuka dan cenderung mengambil risiko dan persiapan mental untuk berdepan situasi tidak terjangka.
Berdasarkan laporan Generasi Z di Tempat Kerja oleh Syarikat Perisian Sumber Manusia, Employment Hero, kelantangan bersuara generasi Z di negara ini turut menjadi antara identiti mereka dalam mencari titik keseimbangan kehidupan dan kerjaya.
Ia sekali gus dapat menyimpulkan bahawa generasi tersebut tidak gentar atau gerun untuk 'melompat' kerja demi mencari peluang yang lebih baik.
Meskipun begitu, masih ada lagi anak muda tempatan yang memilih hala tuju kerjaya dalam bidang profesional untuk mencari pekerjaan stabil.
Individu cenderung ke arah itu juga berpotensi mempunyai identiti yang lebih matang dan kemungkinan lebih selesa untuk merancang tempoh untuk bekerja di suatu syarikat.
Lebih-lebih lagi melihat kepada situasi sukar ketika pandemik Covid-19 yang menyaksikan ribuan rakyat kehilangan sumber pendapatan kerana sesetengahnya dibuang kerja.
Sedar dengan keadaan itu, ada di antara kalangan muda kita sanggup menyertai pelbagai program kerjaya untuk mencari pekerjaan tetap seperti sering ditawarkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) melalui karnival MYFutureJobs.
Program itu adalah bertujuan membuka peluang pekerjaan bersesuaian kelayakan akademik dan kepakaran diri dalam mana-mana sektor seperti perubatan, pendidikan, pengangkutan, pembinaan dan banyak lagi.
Bukan itu sahaja, antara program lain seperti Program JaminKerja membantu seramai 55,837 orang mencari pekerjaan baharu, termasuk 10,034 graduan muda setakat 9 September 2022. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram