DUA pesawat Airbus A-400M Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) diarahkan ke Pangkalan Tentera Udara Al Maza di Mesir, Arab Saudi untuk membawa rakyat Palestin yang cedera ke Malaysia untuk mendapatkan rawatan.
Perkara itu disahkan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sambil menambah bahawa maklumat lanjut misi tersebut bakal diumumkan Wisma Putra dalam masa terdekat
Sementara itu, Wisma Putra dalam kenyataan pada Khamis memaklumkan, seramai 40 orang awam Palestin yang cedera akibat konflik di Gaza akan diterbangkan dari Mesir pada Khamis malam menerusi pesawat terbabit.
Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin
Warga Palestin yang cedera kini sedang menerima rawatan di beberapa hospital di Mesir, mengalami pelbagai masalah kesihatan, termasuk kecederaan tulang dan melecur.
Duta Mesir ke Malaysia, Ragai Nasr memberitahu Bernama bahawa dua pesawat dan pesakit dijadualkan tiba di Malaysia pada pagi Jumaat.
"Mereka akan menerima rawatan di hospital-hospital yang ditetapkan oleh Malaysia," katanya.
Nasr berkata, pemilihan 40 warga Palestin yang cedera untuk mendapatkan rawatan di Malaysia dibuat atas arahan Presiden Abdel Fattah el-Sisi selepas menerima permintaan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar (kiri) ketika menerima lawatan Nasr di Pejabat Perdana Menteri pada 18 Mei 2023. — PMO
Katanya, ini adalah usaha yang diselaraskan melibatkan pelbagai pihak yang bekerjasama untuk memenuhi permintaan Anwar.
Beliau pada masa sama memberi jaminan komitmen untuk meneruskan usaha mereka kerjasama Malaysia.
Pada 4 Ogos lalu, Anwar menyatakan hasratnya untuk membawa rakyat Palestin yang cedera ke Malaysia untuk mendapatkan rawatan.
Katanya, kerajaan akan menyediakan peruntukan dana bagi tujuan berkenaan, selain menzahirkan penghargaan kepada negara-negara yang turut sama memberikan kerjasama bagi melaksanakan misi kemanusiaan itu.
Bantuan kemanusiaan itu juga akan melibatkan beberapa wanita dan kanak-kanak Palestin yang cedera untuk dirawat di Malaysia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram