PENGAMBILAN makanan tidak seimbang dalam rutin harian berisiko kepada individu khususnya kanak-kanak berdepan masalah bantut.
Berdasarkan laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), bantut boleh didefinisikan sebagai masalah tumbesaran melibatkan perkembangan fizikal seperti ketinggian tidak selari dengan peningkatan umur.
Bantut juga merupakan keadaan kekal pada seseorang individu seumur hidup yang kebanyakannya berlaku terhadap kanak-kanak seawal usia di bawah lima tahun.
Makanan segera boleh menjadi antara faktor perkembangan kanak-kanak terbantut. — Gambar hiasan/Agensi
Tertarik untuk berkongsi lanjut, pakar nutrisi, Dr Norhasmah Sulaiman, 55, menyatakan bahawa masalah tersebut dilihat semakin buruk apabila ia menunjukkan trend peningkatan setiap tahun.
Menurutnya, statistik Kajian Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) menunjukkan peningkatan golongan kanak-kanak bantut di Malaysia sejak 2006 lagi.
Dr Norhasmah berkata, pada 2006 kadar bantut adalah sebanyak 17.2 peratus dan meningkat kepada 17.7 peratus pada 2011, berikutnya 20.7 peratus (2016), 21.8 peratus (2019) sebelum bertambah kepada 21.2 peratus pada 2022.
Pengurusan masa
Beliau yang juga profesor di Jabatan Pemakanan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan di Universiti Putra Malaysia (UPM) Seri Kembangan, Selangor bagaimanapun melihat perkara itu perlu lebih ditekankan bagi memberi kesedaran kepada masyarakat.
Menurutnya, kesibukan bekerja sehingga tidak dapat memastikan pengambilan makanan sihat antara faktor berlakunya bantut.
"Kadang-kadang saya lihat kanak-kanak di sekolah yang ibu bapanya hanya bekalkan makanan segera kerana mungkin terkejar-kejar ke tempat kerja.
"Trend seperti ini juga dapat dilihat di televisyen atau iklan tentang pengambilan makanan yang disediakan secara ringkas itu," katanya kepada Majoriti.
Ibu bapa berkerjaya digalakkan untuk membuat jadual pemakanan anak-anak. — Gambar hiasan
Dr Norhasmah justeru memberitahu bahawa langkah pertama yang perlu dilakukan adalah bermula daripada ibu bapa.
Baginya, setiap penjaga harus mempunyai rasa tanggungjawab meskipun terpaksa bergelut dengan kesibukan kerja hakiki lain.
Melalui proses sama, Dr Norhasmah berkata, pengurusan masa di rumah amat penting bagi membolehkan mereka menyediakan makanan bernutrisi dan berkualiti untuk anak.
"Sebagai contoh, saya ketika anak-anak masih kecil terpaksa juga bangun awal pagi untuk masak dan bekalkan mereka lengkap dengan nutrisi sebelum ke tempat kerja.
"Saya juga suatu ketika dahulu pernah hantar anak ke pengasuh.
"Lebih bagusnya adalah pengasuh siapkan jadual rotation untuk pastikan sekurang-kurangnya ada makanan sihat yang kami bekalkan kepada anak," kongsinya.
Dr Norhasmah
Katanya, jadual tersebut sebagai bekalan tambahan daripada ibu bapa walaupun makanan lain disediakan oleh pengasuh.
Padanya, ia merupakan usaha baik yang membantu ibu bapa berkerjaya sepertinya memantau pemakanan anak sekali gus mengurangkan risiko bantut.
Langkah berjaga-jaga
Bimbang akan keadaan itu, Dr Norhasmah mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan pasangan suami isteri terutamanya yang baru bergelar ibu dan bapa mengambil langkah pencegahan awal.
Katanya, setiap ibu bapa perlu peka dan sentiasa mempunyai sikap ingin tahu tentang perkembangan fizikal anak mereka.
Garisan merah menandakan paras bantut pada graf pertumbuhan kanak-kanak mengikut jantina dan umur. — MyHEALTH
"Perlunya ada walau sedikit ilmu tentang potensi anak untuk berdepan dengan masalah bantut.
"Melalui pemeriksaan setiap bulan sebelum anak mencecah usia belasan tahun amat penting sebenarnya kerana daripada itu kita boleh nampak dengan jelas status kesihatan anak.
"Ibu bapa juga perlu ambil berat tentang carta berat dan tinggi anak sekiranya grafnya jatuh pada label warna merah," jelasnya sambil menambah ia penting agar rawatan awal dapat diberikan kepada anak.
Bukan sekadar itu, langkah '1,000 hari pertama kehidupan' turut boleh dilakukan oleh ibu seawal tiga bulan sebelum merancang untuk hamil dengan mengambil suplemen asid folik sebanyak 400 mcg setiap hari bagi mengelakkan risiko kecacatan pada bayi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram