'Macam keluarga sendiri', peserta KAM dari UPSI, UiTM tak boleh lupa momen manis di Kampung Sungai Betul


  • Massa
  • Jumaat, 16 Ogos 2024

Nik Muhammad Izzat (dua dari kiri) bersama ibu dan ayah angkat (tengah) serta tiga lagi peserta lain dalam program KAM.

PROGRAM Kampung Angkat Madani (KAM) dianjurkan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah di Kampung Sungai Betul, Bagan Datoh, Perak pada 6 dan 7 Ogos lalu meninggalkan kenangan indah buat penduduk dan peserta terlibat.

Bertujuan untuk menoktahkan masalah kemiskinan selain memastikan kemudahan serta prasarana asas di kawasan desa dilengkapkan, KAM dilaksanakan dengan kerjasama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Seri Iskandar, Perak.

Program Keceriaan Kampung di bawah KAM juga meliputi beberapa aktiviti seperti program anak angkat, gotong-royong, lukisan mural sekolah, menaiktaraf kemudahan awam dan pemasangan tanda nama Kampung Sungai Betul.

BACA LAGI: Tarik lesen serta-merta, halang merokok antara tindakan tegas di Arizona boleh dicontohi kurangkan kes pemandu mabuk

BACA LAGI: Profesor UPM tegur ibu bapa berkerjaya ambil tahu pemakanan anak, trend bekalkan makanan segera antara punca tumbesaran terbantut

6192536864905347556

Program Keceriaan Kampung antara aktiviti yang dilakukan.

Meskipun program itu sudah berakhir, namun memori yang dirakam sesama mereka selama dua hari satu malam tidak pernah pudar.

Masih segar diingatan, Exco Kesukarelawan Komuniti dan Kemanusiaan Majlis Mahasiswa Kediaman Luar Kampus UPSI, Nik Muhammad Izzat, 21, berkongsi pengalamannya sepanjang menyertai KAM.

Nik meluahkan rasa syukur kerana menerima layanan yang sangat baik dan istimewa daripada ibu dan ayah angkatnya di kampung tersebut.

Katanya, keluarga angkatnya, Jamayah Hamzah, 67, dan Mail Amin, 68, melayan Nik dan tiga lagi rakan seperjuangan seperti anak kandung sendiri.

"Saya dan peserta lain yang duduk sekali memang rapat dengan keluarga angkat kerana cara mereka jaga kami itu sangat rapi daripada sudut makan minum, pakaian dan kebajikan.

"Mereka pula tidak jemu melayan kerenah kami sepanjang waktu itu. Jadi, hari terakhir program, menitik jugalah air mata bila nak berpisah.

"Walaupun masa yang diberikan singkat, tetapi saya dapat rasa hubungan erat antara kami seperti adik-beradik angkat," katanya kepada Majoriti.

6192536864905347552

Nik (kiri) bersama peserta lain.

Menurutnya, majoriti penduduk di kampung berkenaan terdiri daripada pasangan suami isteri warga emas yang hanya tinggal berdua di rumah.

Nik menjelaskan bahawa keadaan itu disebabkan status kebanyakan anak-anak yang sudah berkahwin atau bekerja dan menetap di bandar.

Kata Nik, kehadiran para peserta program KAM ketika itu secara tidak langsung dapat menceriakan suasana dengan pelbagai aktiviti bersama keluarga angkatnya.

"Nampak riak wajah mereka gembira dan seronok bila ada teman bersembang, makan sama-sama," ujarnya.

Berkongsi lanjut, Nik berkata, keluarga angkatnya juga mempunyai tiga orang anak dan seorang sahaja yang masih menetap bersama mereka.

Tidak menafikan mempunyai persepsi atau tanggapan bahawa akan berlaku kejanggalan antara mereka pada awalnya, Nik tidak menyangka sikap ramah penduduk memikat hatinya sehingga sekarang.

6192536864905347555

Aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan Pantai Beting Beras Basah.

Baginya, layanan itu juga membuatkannya berasa lebih selesa untuk berkongsi cerita, luahan atau pendapat.

"Kita dah rasa mereka ini macam darah daging sendiri dan kita tak kekok nak eratkan hubungan silaturahim.

"Masa awal kami masuk pun mereka terlalu gembira siap hidangkan lagi buah tangan seperti kacang, coklat, air zamzam yang dibelinya ketika melakukan ibadah haji di Makkah, Arab Saudi sebelum itu," jelasnya.

Nik yang berasal dari Terengganu itu menambah bahawa program tersebut banyak memberi pengalaman dan peluang menikmati suasana baharu.

Menyokong usaha itu, Nik berkata, program KAM banyak mengajarnya tentang kisah-kisah menarik di kawasan kampung terbabit.

Antara ilmu baharu diperolehinya adalah sejarah Pantai Beting Beras Basah yang merupakan lokasi penting bagi istiadat diraja Perak ketika mula tiba di muara Sungai Perak.

Beting pasir boleh dirujuk sebagai satu fenomena semula jadi kejadian pasang surut air.

Lebih menarik apabila Sultan Perak akan mula menghilir Sungai Perak dari Kuala Kangsar hingga ke Beting Beras Basah sebagai simbolik adat tempat pertama Sultan Muzaffar Shah I yang juga Sultan Perak pertama menjejakkan kaki ketika mula sampai di bumi Perak setiap kali pertabalan.

6192536864905347554

Nama kampung yang diambil sempena struktur sungainya.

Bukan itu sahaja, Nik turut memberitahu, nama Kampung Sungai Betul sebenarnya diambil sempena struktur sungai di kawasan itu yang lurus dan tegak.

Pelajar semester empat Ijazah Sarjana Muda Sain (Matematik) dan Pendidikan di UPSI itu turut melontarkan harapannya agar program kebajikan sedemikian dapat diteruskan oleh generasi akan datang.

Sementara itu, program KAM dilaksanakan untuk membina perhubungan dan kerjasama yang erat antara agensi kerajaan, komuniti kampung, dan agensi setempat.

Program tersebut juga melibatkan hampir 150 orang pelajar dan kakitangan UPSI dan UiTM beserta 23 keluarga angkat sekali gus mampu mewujudkan keharmonian dan persekitaran kampung kondusif serta fokus kepada peningkatan kualiti hidup penduduk serta mempromosikan suasana yang aman dan harmoni dalam masyarakat.

Ia pada masa sama selari dengan hasrat kerajaan untuk mengangkat setiap kampung angkat Madani dan memberikan peruntukan dana sebanyak RM2.5 juta bagi mewujudkan kampung lestari dan penduduknya yang mampu memperoleh pendapatan sendiri. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram