PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluahkan rasa kesal dan kecewa dengan tindakan segelintir pembangkang yang memperlekeh tindakan kerajaan membawa rakyat Palestin untuk mendapatkan rawatan di negara ini.
Katanya, usaha membawa pulang 40 rakyat Palestin yang cedera itu adalah usaha kecil kerajaan jika dibandingkan dengan jumlah 40,000 mangsa yang terkorban akibat menjadi mangsa kezaliman Zionis Israel.
“Ada orang kata Anwar tak payah jadi Perdana Menteri Malaysia, pergi jadi Perdana Menteri Palestin kalau nak tolong sangat.
BACA LAGI: Dua pesawat TUDM terbang ke Mesir bawa 40 rakyat Palestin cedera dapatkan rawatan di Malaysia
BACA LAGI: Bayi 8 bulan antara 60 warga Palestin cedera tiba di Subang pada Jumaat
“Ini bantuan kecil dilaksanakan jadi kalau tanya saya syukur kepada ALLAH SWT kerana ada juga perasaan ihsan timbang rasa untuk meringankan beban mereka.
"Orang mati terkorban, diseksa, duduknya jauh. (Sebelum ini) ada yang lain datang lagi ramai, Rohingya ratus ribu ... banyak negara jiran datang minta pertolongan, dulu pelarian Aceh, ada pergaduhan, maka ada juga kita simpan di sini untuk beri perlindungan sehingga keadaan reda,” katanya pada Sabtu memetik laporan Malaysia Gazette.
Tambah beliau lagi, usaha membawa rakyat Palestin itu merupakan satu tindakan berisiko tinggi dan memerlukan pasukan yang mempunyai pengetahuan terhadap risiko yang bakal dihadapi.
“Jadi kita guna pesawat TUDM kerana ambil mereka di sempadan Mesir yang sedang bergolak, kalau guna pesawat komersial kemungkinan berisiko ditembak peluru berpandu Israel.
“Mereka (pasukan TUDM) yang ada dalam pesawat itu tahu terhadap risiko berkenaan,” katanya.
Anwar turut mengutuk pihak yang membuat tomahan terhadap kerajaan yang mendakwa sebagai ajen Yahudi, Amerika Syarikat dan Israel.
Pada Jumaat, Majoriti melaporkan lebih 127 rakyat Palestin yang cedera berserta ahli keluarga mereka selamat tiba di Pangkalan Tentera Udara, Subang, Selangor pada Jumaat.
Mereka tiba dengan dua pesawat Airbus A-400M Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) kira-kira pukul 2 petang Jumaat.
Difahamkan, pesawat tersebut berlepas dari Pangkalan Udara Al Maza, Mesir pada Khamis dan kesemua pesakit dan mangsa kini di tempatkan sementara di hospital medan yang didirikan di sebuah hangar di pangkalan udara tersebut.
Mereka kemudiannya akan menerima rawatan lanjut di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan di Wangsa Maju, Kuala Lumpur.
Kumpulan itu terdiri daripada lelaki, wanita dan kanak-kanak berumur antara lapan bulan hingga 62 tahun. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram