PENGGUNA jalan raya berdepan detik cemas apabila kenderaan mereka ditenggelami air akibat banjir kilat yang berlaku di beberapa kawasan di Kuala Lumpur pada Khamis.
Hujan lebat yang melanda ibu kota itu juga menyebabkan tanah runtuh di kawasan Taman Bunga Raya, Jalan Genting Klang-Kem Wardieburn, Kuala Lumpur.
Susulan itu, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kuala Lumpur berkata, kejadian yang berlaku kira-kira pukul 5.43 petang itu menjejaskan kawasan penduduk.
BACA LAGI: Teori dakwaan Jho Low bayangan Najib tiada bukti, tak boleh disokong — Peguam
BACA LAGI: Insiden tembakan di tempat terbuka, polis ambil kira keselamatan orang awam — Saifuddin
"Penghuni di beberapa kediaman sekitar kawasan itu turut diarah mengosongkan rumah masing-masing berikutan masih terdapat pergerakan tanah.
"Seramai enam anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Wangsa Maju digerakkan ke lokasi sebaik menerima panggilan mengenai kejadian membabitkan kawasan lereng bukit itu," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Pihak bomba pada masa sama memaklumkan, operasi pemantauan masih diteruskan anggota di lokasi dan hanya sebuah rumah terbabit setakat ini.
Dalam pada itu, tular juga beberapa video di media sosial memaparkan beberapa kereta yang parkir di World Trade Center (WTC) Kuala Lumpur yang ditenggelami air.
Difahamkan, sesi penggulungan persidangan Pemuda dan Puteri Umno (PAU) ditangguhkan lebih sejam susulan banjir yang melanda di kebanyakan tempat sekitar WTC itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram