SEBAHAGIAN daripada laluan Jalan Kepong-Kuala Selangor di Bandar Sri Damansara, Selangor, sering berdepan dengan banjir kilat ekoran permukaan jalan yang tidak rata dan masalah longkang tersumbat.
Permukaan jalan tidak rata menyebabkan air mengalir ke kawasan yang lebih rendah, membawa kepada faktor banjir kilat yang menjejaskan kedai dan kuil Hindu di sepanjang tepi jalan terbabit.
Semasa sidang media, aktivis komuniti Kepong, Yee Poh Ping berkata, walaupun terdapat beberapa saluran longkang di tepi jalan, ia tidak berkesan berikutan pasir dan sampah telah memenuhi longkang tersebut sehingga ia tersumbat.
Dia berkata, air longkang mengalir dari kawasan perindustrian berhampiran Persiaran Jati di Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP) setiap kali hujan lebat.
BACA LAGI: 'Tunggu Hari Pekerja', Anwar bagi 'hint' gaji penjawat awam bakal naik

Aktivis komuniti Kepong, Yee Poh Ping.
“Dengan air yang mengalir begitu banyak, longkang cetek itu tidak lagi dapat menampung isi padu air yang banyak.
"Air banjir boleh mencecah sedalam 0.3 meter, menyebabkan gangguan lalu lintas bagi kenderaan yang datang dari arah Selayang, Taman Daya, Batu Caves, Sri Gombak dan Kepong," katanya.
Yee juga berkata, jalan itu berada di bawah tanggungjawab beberapa bidang kuasa termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
"Tanah itu bukan kepunyaan mana-mana pihak memandangkan peraturan dan dasar kerajaan tempatan di negara kita tidak konsisten. Perkara itu mengakibatkan banyak masalah yang tidak dapat diselesaikan dengan baik.
"Orang awam tidak boleh ajukan aduan kepada pihak yang betul kerana mereka tidak tahu bahagian jalan di situ berada di bawah bidang kuasa siapa. "Pihak berkuasa harus mengadakan perbincangan bersama untuk mencari penyelesaian, bukan membiarkannya begitu sahaja," katanya.
Yee turut mencadangkan penyelesaian melibatkan jangka pendek dan jangka panjang.
“JKR perlu kerap melakukan kerja pembersihan dan selenggara longkang di sekitar kawasan terbabit," tegasnya.
“Sekiranya masalah berlarutan selepas pembersihan longkang dilakukan, pertimbangan perlu diberikan bagi penempatan semula kedai di sepanjang jalan itu ke lokasi yang sesuai dan menambah lebih banyak longkang di kawasan berkenaan untuk menangani isu banjir sepenuhnya,” katanya. — The Star/HAZEL TAN YAN LING
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
