
KELUARGA Allahyarham Istiqomah Ahmad Rozi, 33, melahirkan rasa syukur atas kelancaran proses pengebumian dan berharap pihak yang bertanggungjawab ke atas pembunuhannya dihadapkan ke muka pengadilan.
Bapa Allahyarham, Ahmad Rozi Latimin, 64, mahu pelakunya berdepan hukuman setimpal atas jenayah dilakukan.
"Alhamdulillah, saya bersyukur jenazah (Istiqomah) anak perempuan saya selamat dikebumikan di kampung halaman. ALLAH makbulkan doa saya dan isteri (Saliha Ya) terutama selepas lapan bulan dia hilang," katanya kepada pemberita di Tanah Perkuburan Islam Bandar Pasir Mas, Kelantan pada Isnin.
BACA LAGI: Tawarkan pengalaman unik dan mengasyikkan antara kunci industri runcit buku mampu kekal relevan
BACA LAGI: 3PBI rangka pelan komprehensif tingkat mutu Bahasa Inggeris di sekolah seluruh negara
Suspek utama yang juga kenalan kepada arwah sedang dibicarakan di mahkamah.
Sementara itu, suami Istiqomah, Mohd Yusof Mohktar, 35, berharap keadilan dapat ditegakkan untuk arwah isterinya.
“Saya minta semua orang mendoakan agar isteri saya ditempatkan dalam kalangan orang yang soleh,” katanya.
Jenazah Istiqomah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Pasir Mas pada pukul 11.50 malam Isnin (19 Ogos).
Pada 12 Ogos lalu, polis mengesahkan mayat yang ditemui tidak sempurna di dalam longkang di tepi jalan utama Alor Gajah-Tampin dekat Kampung Rimau, Pulau Sebang, Alor Gajah, Melaka pada 31 Disember tahun lalu adalah milik Istiqomah.
Allahyarham,33, yang juga seorang guru sebelum itu dilaporkan hilang empat hari sebelumnya.
Polis turut berkata, susulan risikan dikumpul pasukan Bahagian Siasatan Khas (D9) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Melaka, dengan kerjasama JSJ Johor dan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah, sepasang suami isteri berusia 36 dan 37 tahun ditahan di Chemor, Perak bagi membantu siasatan. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram