
KELUARGA Allahyarham Cikgu Istiqomah yang dibunuh kejam dan mayatnya ditemui di tepi Jalan Alor Gajah – Tampin, berhampiran Kampung Rimau, Pulau Sebang, Melaka sudah menerima keadaan jenazah wanita terbabit dengan baik.
Menurut laporan Buletin TV3, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, ketika proses serahan yang turut disertai suami Allahyarham, Mohd Yusof Mokhtar, pihak Hospital Melaka memberi penerangan mengenai keadaan jenazah.
“Seperti mana yang semua tahu, ada bahagian (anggota badan belum ditemui) lagi di mana bahagian badan yang kita temui pada peringkat awal dan peringkat kedua sudah diserahkan kepada keluarga hari ini.
BACA LAGI: Isteri bebas, suspek kes bunuh Cikgu Istiqomah dituduh di Mahkamah Majistret Alor Gajah pada Isnin
Mayat Cikgu Istiqomah yang ditemui dalam tong sampah penghujung Disember lalu.
“Jadi (jenazah) bukanlah sempurna dan keluarga dapat terima apa yang diterangkan oleh doktor. Selepas siap dimandikan jenazah akan dikafankan sebelum dibawa balik ke Kelantan,” katanya.
Ashari berkata demikian ketika ditemui di perkarangan Jabatan Forensik Hospital Melaka pada Isnin.
Mengulas lanjut, dia menjelaskan siasatan dan pencarian beberapa lagi anggota badan Cikgu Istiqomah akan diteruskan meskipun suspek sudah dituduh di Mahkamah Majistret Alor Gajah, Melaka.
"Siasatan masih lagi berjalan dan jika kita dapat petunjuk baharu, kita akan teruskanlah bukan berhenti di sini,” katanya.
Pada 31 Disember tahun lalu, mayat Allahyarham ditemui orang awam dalam tong sampah di longkang tepi selepas mangsa dilaporkan hilang tujuh bulan sebelum itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram