Dituduh bunuh, bakar ibu bapa dan anak saudara, Azman hanya mengangguk faham


Azman (baju lokap ungu) dituduh di Mahkamah Majistret Muar pada Selasa.

SEORANG penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret Muar, Johor pada Selasa atas tuduhan membunuh ibu bapa dan seorang anak saudaranya di sebuah rumah di Kampung Paya Redan, Pagoh, pada 9 Ogos lalu.

Azman Mohamed Nor, 48, hanya mengangguk faham selepas ketiga-tiga pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Suzana Mokhtar.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes pembunuhan terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

BACA LAGI: Tawarkan pengalaman unik dan mengasyikkan antara kunci industri runcit buku mampu kekal relevan

BACA LAGI: 3PBI rangka pelan komprehensif tingkat mutu Bahasa Inggeris di sekolah seluruh negara

Dia dituduh membunuh ibunya, Ara Ab Hamit, 76; bapanya, Mohamed Nor Mohamed Yassin, 82; dan anak saudaranya, Noradriana Nor Hasyim, 11, antara pukul 1 pagi dan 3 pagi pada 9 Ogos.

Kesemua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, membawa hukuman mati yang boleh diubah kepada hukuman penjara antara 30 dan 40 tahun serta tidak kurang daripada 20 sebatan.

Mahkamah menetapkan 24 Oktober depan untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan forensik, bedah siasat dan kimia.

2849119

Keadaan kebakaran rumah yang menjadi lokasi pembunuhan tiga sekeluraga di Kampung Paya Redan, Pagoh pada awal bulan ini. — Facebook/ Ismail Omar

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen Muar, Azman mengaku bersalah terhadap pertuduhan dengan sengaja mendatangkan kecederaan parah terhadap anak saudaranya, Norazmina Mohd Razi, 14 tahun dengan menggunakan kayu sebagai senjata yang mampu menyebabkan kematian.

Insiden itu didakwa berlaku di lokasi, masa dan hari sama dengan pembunuhan itu. Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, berserta denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Hakim Nariman Badruddin menetapkan 12 September ini untuk menjatuhkan hukuman sementara menunggu pihak pendakwaan memuktamadkan fakta kes.

Azman dinafikan ikat jamin kerana terlibat dalam tiga pertuduhan membunuh.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Arif Marzuki dan Danial Munir manakala Azman tidak diwakili peguam.

Sebelum ini, media melaporkan pasangan warga emas Mohamed Nor dan Ara bersama cucu mereka, Noradriana maut dalam kebakaran di sebuah rumah di Kampung Paya Redan, Pagoh kira-kira pukul 1.30 pagi itu, manakala seorang lagi mangsa, Norazmina parah.

Susulan daripada itu, Ketua Polis Daerah Muar Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz dilaporkan berkata, pihaknya sedang mengesan saksi utama dikenali sebagai Azman yang juga anak kepada pasangan warga emas yang dikatakan tinggal bersama mangsa selepas dipercayai hilang selepas kejadian. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram