Polis cari Azman bantu siasatan kes kebakaran ragut nyawa 3 sekeluarga di Pagoh


  • 112
  • Jumaat, 09 Ogos 2024

AraAbd Hamid (dua kanan) dan suaminya, Mohamed Yassin maut dalam kebakaran manakala cucu mereka, Noradriana meninggal dunia ketika menerima rawatan di HPSF.

POLIS giat mengesan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung kebakaran yang mengorbankan nyawa tiga sekeluarga di Kampung Paya Redan, Pagoh, Muar, Johor pada awal pagi Jumaat.

Lelaki berkenaan, Azman Mohamed, 48, merupakan anak kepada pasangan Mohamed Yassin, 82, Ara Abd Hamid, 76, yang maut dalam kebakaran pada pukul 1.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, Azman dikenal pasti tinggal bersama mangsa di rumah terbabit.

BACA LAGI: Ada warga emas terlantar sakit, pihak pemaju didakwa tak simpati lihat nasib penduduk Kampung Sungai Baru

BACA LAGI: Warga asing bebankan hospital awam, KKM perlu cari jalan efektif selain kaedah insurans — MMA

"Polis meminta penama Azman supaya tampil di mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," katanya dalam satu kenyataan.

Cucu kepada pasangan tersebut, Noradriana Nor Hisyam, 11, turut menjadi korban dalam kejadian itu manakala kakaknya, Norazima Mohd Radhi, 14, tidak mengalami kemalangan jiwa dan kini menerima rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF).

Difahamkan, Azman yang juga bapa saudara kepada dua beradik itu masih bujang.

Ketika kejadian, bapa remaja terbabit bekerja sebagai pemandu lori tiada di rumah kerana menghantar barang ke luar kawasan.

Dua beradik itu tinggal bersama datuk dan neneknya selepas kehilangan ibu mereka yang meninggal kira-kira lima tahun lepas.

Dalam perkembangan sama, dilaporkan pasukan forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor serta Bomba dan Penyelamat Muar juga berada di lokasi bagi menjalankan siasatan.

Terdahulu, Majoriti melaporkan tragedi kebakaran itu turut tular di laman media sosial pada hari sama.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram