Jenazah Rozaid Rahman selamat dikebumikan di Putrajaya


  • Massa
  • Isnin, 19 Ogos 2024

Jenazah Allahyarham Rozaid Rahman selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Presint 20, Putrajaya kira-kira pukul 10 pagi Isnin.

JENAZAH Allahyarham Rozaid Abdul Rahman selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Presint 20, Putrajaya kira-kira pukul 11 pagi Isnin.

Allahyarham terlebih dahulu dimandi, dikafan dan disolatkan di Masjid Putra Heights, Subang Jaya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut hadir bagi mengikuti pengurusan jenazah Allahyarham Rozaid yang berlangsung seawal pukul 8 pagi.

BACA LAGI: Pengarah Media dan Komunikasi Strategik PMO, Rozaid Rahman meninggal dunia pada usia 59 tahun

BACA LAGI: 'Ini satu cabaran untuk saya,' Pengarang Perundingan Kumpulan Media Star dilantik Pengarah Media dan Komunikasi Strategik PMO

Perdana Menteri secara peribadi berkata, pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan yang cukup besar kerana beliau sudah menganggap arwah sebagai sahabat dan ahli keluarga memandangkan mereka telah berkenalan sejak sekian lama.

"Kita kehilangan sahabat dan keluarga kerana Rozaid adalah kenalan lama sejak dia di media. Kemudian bapanya teman rapat di Permatang Pauh dan pernah jadi Ahli Dewan Undangan Negeri.

"Di pejabat Perdana Menteri, beliau merupakan tonggak dari segi strategi menyantuni media dan berikan pendekatan yang baik. Saya dari segi peribadi dan keluarga mendoakan kepada Allah supaya roh Rozaid dicucuri rahmat dan mohon isterinya dan keluarganya sabar, dan saya secara peribadi kehilangan sahabat dan rakan seperjuangan," katanya.

photo_2024-08-19_11-02-08

Anwar ketika hadir di majlis pengebumian Allahyarham Rozaid di Masjid Putra Heights, Subang Jaya pada Isnin.

Turut hadir, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Fadzil, Ketua Pegawai Kumpulan Star Media Group (SMG) Berhad, Datin Paduka Esther Ng dan Pengerusi BERNAMA, Datuk Seri Wong Chun Wai.

Terdahulu, Pengarah Media dan Komunikasi Strategik di Pejabat Perdana Menteri (PMO) itu dilaporkan meninggal dunia di kediaman keluarganya di Putra Heights, Subang Jaya pada petang Ahad.

Pemergian Allahyarham yang sebelum ini bertugas sebagai Pengarang Perundingan Kumpulan SMG itu disahkan oleh Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Tunku Nashrul Tunku Abaidah.

Beliau sebelum ini pernah menerima rawatan di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang, Selangor akibat mengalami masalah jantung serta pernah menerima kunjungan lawatan Perdana Menteri awal Julai lalu.

Rozaid memulakan kerjayanya sebagai pemberita kadet di Utusan Malaysia pada April 1984.

Selain itu, beliau juga pernah menjawat jawatan Pegawai Eksekutif Pengisian/Pengarang Eksekutif Kumpulan Media The Star, selain pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Akhbar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang ketika itu Menteri Pengajian Tinggi. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram